Tenaga kerja perlu ambil kira keperluan bidang, tahap kelayakan

Tenaga kerja perlu ambil kira keperluan bidang, tahap kelayakan

ZAMBRY Abdul Kadir semasa menyampaikan ucapan di Majlis Peluncuran Pelan Strategik Kebolehpasaran Graduan (PSKG) 2026-2030 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, di sini hari ini. - UTUSAN/MOHD FARIZWAN HASBULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Keperluan tenaga kerja tidak boleh dinilai berdasarkan jumlah graduan berkelulusan ijazah semata-mata, sebaliknya perlu mengambil kira tahap kelayakan, keperluan di peringkat diploma serta kemahiran lain.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir berkata, pendekatan itu penting bagi memastikan tahap kelayakan tenaga kerja benar-benar sepadan dengan keperluan industri.

Katanya, sebagai contoh, keperluan tenaga kerja dalam bidang elektrik dan elektronik (E&E) perlu diperhalusi bagi menentukan tahap kelayakan yang benar-benar diperlukan industri.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Keperluan itu ada kaitan dengan industri berkaitan kejuruteraan dan tidak semestinya pada tahap ijazah. Mungkin diperlukan di peringkat diploma dan kelayakan kemahiran,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Peluncuran Pelan Strategik Kebolehpasaran Graduan (PSKG) 2026-2030 dan Penyampaian Anugerah Prestasi Cemerlang Kebolehpasaran Graduan 2021-2025 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), di sini hari ini.

Menurut Zambry, Kementerian Pendidikan Tinggi akan terus memperkukuh agenda kebolehpasaran graduan dengan memberi penekanan terhadap penguasaan kemahiran selari dengan keperluan industri termasuk menerusi program peningkatan kemahiran (upskilling).

Katanya, pelan berkenaan dibangunkan menerusi kerjasama menyeluruh dalam ekosistem KPT bersama kementerian dan agensi berkaitan bagi memastikan pembangunan graduan seiring dengan keperluan pasaran pekerjaan.

“Antara kementerian yang terlibat ialah Kementerian Ekonomi, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri serta Kementerian Sumber Manusia.

“Kita sentiasa menyediakan ruang supaya sistem sedia ada mempunyai keanjalan untuk dirombak dan disesuaikan berdasarkan keperluan pasaran itu sendiri.

“Secara keseluruhannya, perancangan yang dilaksanakan telah berjalan dengan baik namun dari semasa ke semasa kita perlu membuat semakan terhadap perubahan keperluan pasaran dan industri,” katanya.

Tambah beliau, KPT turut memperluas kerjasama dengan industri menerusi pelaksanaan program industri di kampus serta penglibatan syarikat dalam pembangunan bakat.

Katanya, pendekatan itu turut merangkumi program stackable yang membolehkan pekerja meningkatkan kemahiran secara berperingkat bagi menyesuaikan diri dengan perubahan teknologi dan penggunaan mesin baharu.

“Pekerja mungkin sudah lama berada dalam industri tetapi apabila mesin atau teknologi baharu diperkenalkan, mereka memerlukan proses upskilling.

“Sebab itu kita menyediakan program yang boleh ditambah secara berperingkat,” katanya.

PSKG 2026-2030 turut menggariskan lima teras utama meliputi pembinaan karakter, komunikasi dan minda global; pendidikan tinggi berteraskan kemahiran serta pengalaman kerja sebenar; inovasi, keusahawanan dan penciptaan pekerjaan.

Selain itu, pengukuhan hubungan industri-akademia; serta pembentukan graduan sebagai warga bertanggungjawab yang menyumbang kepada komuniti, kelestarian dan negara. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini