Rutin mencuci boleh menjadi lebih mencabar apabila pakaian berpintal dan berbelit di dalam mesin.
Keadaan itu bukan sahaja menyukarkan proses mengeluarkan pakaian, malah memerlukan masa tambahan untuk meleraikannya satu persatu.
Masalah itu boleh dikurangkan menerusi teknologi double drive pada mesin basuh Haier siri Iris 2698.
Ketua Pemasaran Haier Malaysia, Julian Thean berkata, penggunaan dua kuasa pemacu itu mampu menghasilkan pergerakan cucian lebih kuat dan dinamik.
Di samping itu, teknologi berkenaan membolehkan cucian yang menyeluruh sambil memberikan penjagaan lebih baik terhadap fabrik.
“Kitaran penuh cucian boleh disiapkan dalam hanya 39 minit, lebih cepat daripada kitaran tradisional, sekali gus menjimatkan masa, air dan tenaga,” katanya.
Siri ini turut dilengkapi fungsi AI wash yang mengesan berat cucian secara automatik sebelum menentukan jumlah air yang sesuai serta melaraskan tempoh cucian, keamatan penggunaan detergen dan nisbah putaran berdasarkan keperluan.
Sementara itu, fungsi one touch pula membolehkan pengguna memulakan cucian dengan menekan dan menahan butang selama tiga saat selepas mesin dihidupkan.











