Peningkatan serangan Israel bebankan penduduk selatan Lubnan - Utusan Malaysia

Peningkatan serangan Israel bebankan penduduk selatan Lubnan

ANGGOTA keselamatan dan orang ramai bergegas ke lokasi serangan Israel di selatan Lubnan. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BEIRUT: Orang awam di selatan Lubnan terus menanggung kesan peningkatan ketara aktiviti ketenteraan Israel sejak dua minggu lalu, menurut Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL).

Dalam kenyataan kelmarin, UNIFIL berkata, pihaknya merekodkan purata 137 projektil dilancarkan setiap hari antara 5 hingga 16 Ogos.

Jumlah itu meningkat kepada 208 projektil pada Sabtu dan 185 lagi pada Ahad, ketika ketegangan di kawasan berkenaan terus memuncak.

Memuatkan artikel berkaitan…

Peningkatan itu berlaku walaupun perjanjian gencatan senjata antara Lubnan dan Israel yang dimeterai pada 26 Jun diperbaharui.

Perjanjian yang diusahakan Amerika Syarikat (AS) itu dikaitkan dengan usaha melucutkan senjata kumpulan Hizbullah yang berpangkalan di Lubnan.

Bagaimanapun, perjanjian tersebut tidak secara khusus menetapkan pengunduran tentera Israel yang masih menduduki beberapa kawasan di selatan Lubnan.

Hizbullah menolak perjanjian tersebut dan menegaskan tidak akan bersetuju selagi Israel tidak berundur dari Lubnan.

“Ketika ketegangan me­ning­kat, penduduk awam se­kali lagi menanggung kesan pa­ling buruk, dengan ramai keluarga terpaksa berpindah atau mengubah rutin harian akibat keadaan tidak selamat dan ketidakpastian,” kata UNI­FIL.

UNIFIL berkata, pasukan pengamannya terus menjalankan tugas menerusi rondaan, pemantauan, mengalihkan ha­langan di jalan raya, mengurangkan risiko daripada bahan letupan dan membantu memastikan akses untuk penghantaran bantuan kemanusiaan.

UNIFIL turut menegaskan Resolusi 1701 Majlis Keselamatan PBB kekal menjadi kerangka asas bagi memulihkan ke­stabilan di selatan Lubnan.

Resolusi yang diluluskan pada 2006 itu menggesa penghentian permusuhan antara Israel dan Hizbullah yang disokong Iran, selain memperkukuh penempatan tentera Lubnan serta UNIFIL di selatan negara berkenaan.

Presiden Lubnan, Joseph Aoun pada Isnin menyuarakan sokongan untuk melanjutkan mandat UNIFIL dan menerima pakai formula yang memastikan pasukan antarabangsa terus berada di kawasan ber­kenaan.

Mandat UNIFIL di selatan Lubnan dijadual berakhir pada penghujung tahun ini ketika perdebatan antarabangsa me­ngenai masa depan dan misi pasukan berkenaan terus berlangsung. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini