Bola keranjang 3x3 Selangor sambar emas pertama SUKMA 2026

Bola keranjang 3×3 Selangor sambar emas pertama SUKMA 2026

SKUAD wanita membuka langkah dengan bergaya apabila menewaskan Wilayah Persekutuan 21-4 manakala pasukan lelaki turut menewaskan lawan yang sama 21-13 pada perlawanan akhir di Dewan Bola Keranjang Bukit Tinggi 2, Klang, hari ini. - IHSAN FB Persatuan Bola Keranjang Malaysia
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Selangor menghantar isyarat awal kepada kontinjen lain pada Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026 apabila terus menguasai gelanggang dengan menyapu dua emas bola keranjang 3×3 lelaki dan wanita, hari ini.

Skuad wanita membuka langkah dengan bergaya apabila menewaskan Wilayah Persekutuan 21-4 sebelum pasukan lelaki meneruskan pesta emas tuan rumah menerusi kemenangan 21-13 ke atas lawan sama.

Lebih menarik, Negeri Sembilan turut mencuri dua pingat gangsa selepas masing-masing menewaskan Johor dalam penentuan tempat ketiga, dengan pasukan wanita menang 16-12 manakala skuad lelaki mencatat kemenangan 21-19.

Memuatkan artikel berkaitan…

Dua emas berkenaan menjadi suntikan awal buat Selangor yang menggalas cabaran sebagai tuan rumah, selain mengulangi penguasaan mereka dalam bola keranjang 3×3 pada SUKMA Sarawak 2024.

Pada edisi lalu, Selangor turut menyapu bersih empat emas bola keranjang menerusi acara 5×5 dan 3×3 lelaki serta wanita, sekali gus meletakkan mereka sebagai antara kuasa utama sukan itu di pentas SUKMA.

Kejayaan awal itu hadir ketika temasya Selangor 2026 bakal membuka tirai secara rasmi di Dataran Kemerdekaan, Shah Alam, dengan saingan keseluruhan berlangsung dari 15 hingga 24 Ogos ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN