Keselamatan lapangan terbang dipertingkat

Keselamatan lapangan terbang dipertingkat

Kawalan ke­se­lamatan di lapangan terbang seluruh negara akan dipertingkatkan menerusi pelan penambahbaikan yang akan di­bentangkan kepada jemaah men­teri minggu depan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Kerajaan akan mem­­pertingkatkan kawalan ke­se­lamatan di lapangan terbang seluruh negara menerusi pelan penambahbaikan yang akan di­bentangkan kepada jemaah men­teri minggu depan.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pelan berkenaan akan merangkumi pelbagai aspek termasuk kawalan terhadap mesin imbas serta pihak yang mengendalikan peralatan itu bagi memastikan prosedur pemeriksaan dapat diselaraskan semula.

Katanya, pelan tersebut disediakan selepas semua agensi kawal selia berkaitan diarahkan­ mengemukakan cadangan pe­nam­bahbaikan pada ming­gu lalu.

Memuatkan artikel berkaitan…

Menurutnya, langkah itu su­su­lan insiden penahanan seorang juruterbang Malaysia di Indonesia berkaitan penemuan dadah baru-baru ini.

“Selain mesin imbas, pelan ini turut meliputi aspek koordinasi, latihan, infrastruktur dan logistik.

“Mesin imbas di lapangan terbang dikendalikan Pasu­kan­­ Ke­selamatan Penerbangan (AVSEC) mengikut standard Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) dengan penekanan utama terhadap ancaman seperti bom, senjata tajam dan pistol,” katanya kepada pembe­rita di sini semalam.

Jelasnya, kerajaan perlu menyelaraskan semula aspek pemeriksaan sekiranya bahan terlarang atau kontraban dikesan melalui mesin imbas.

“Kalau pada skrin itu terpapar kontraban sememangnya ia dapat dikesan melalui mesin imbas namun prosedur pemeriksaannya tidak terma­suk dalam kawalan keselamatan biasa yang dikendalikan polis atau Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS). Jadi, kita perlu selaraskan semula aspek-aspek berkenaan,” katanya.

Terdahulu, beliau hadir me­nyampaikan Pampasan Kema­ti­an (Skim Takaful Ber­kelompok) kepada keluarga Allahyarham Lans Koperal Mohamad Nur Hafiz Rahim di Kampung Hutan Pasir, Ketereh di sini semalam.

Saifuddin bagaimanapun berkata, masih belum diputuskan sama ada pelan berkenaan akan dibentangkan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) atau Kementerian Pengangkutan.

Katanya, semua agensi di bawah KDN termasuk AKPS serta agensi di bawah Kementerian Pengangkutan, terma­suk Malaysia Airports Berhad (MAB) dan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), terlibat dalam penyediaan pelan penambahbaikan berkenaan.

Dalam perkembangan ber­kaitan, Saifuddin berkata, kerajaan akan menambah baik aspek pemantauan menerusi rakaman televisyen litar tertutup (CCTV), khususnya di kawasan titik buta (blind spot) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 dan Terminal 2.

Menurutnya, langkah itu bertujuan membantu agensi pe­nguatkuasaan mengesan sebarang ancaman keselamatan di pintu keluar dan masuk negara.

Katanya, ketika ini kira-kira 5,000 CCTV telah dipasang di kedua-dua terminal KLIA.

“Sekiranya terdapat kawa­san blind spot di KLIA, kita akan tambah baik. AKPS kini dalam fasa kedua operasi yang melibatkan beberapa bentuk perolehan termasuk CCTV.

“Bagaimanapun, itu cuma daripada segi peralatan dan infrastruktur. Paling penting adalah pemantauan individu yang mengawasi atau mengendalikan infrastruktur tersebut, terutama aspek standard latihan,” katanya.

Sementara itu, Saifuddin berkata, kerjasama diplomatik antara Malaysia dan Thailand akan terus menjadi antara pendekatan dalam menangani isu jenayah rentas sempadan melibatkan kedua-dua negara.

Katanya, selain menerusi hubungan kerajaan dengan kerajaan (G2G), hubungan polis dengan polis (P2P) turut diperkukuh bagi memastikan keselamatan sempadan negara berada pada tahap terbaik.

“Kerjasama G2G dilaksanakan melalui Jawatankuasa Pe­ngurusan Keselamatan Sempadan Malaysia-Thailand yang bersidang dua kali setahun.

“Untuk P2P pula, ia membabitkan pasukan polis di negeri-negeri sempadan iaitu Perlis, Kedah dan Kelantan yang sentiasa mengadakan perbinca­ngan serta kerjasama berkaitan soal keselamatan,” katanya.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×