KUALA LUMPUR: Penyertaan dua pasukan WorldTeam, XDS Astana dari Kazakhstan dan Picnic PostNL dari Belanda menjadikan perlumbaan Le Tour de Langkawi (LTdL) 2026 lebih mencabar dengan jumlah penyertaan 20 pasukan keseluruhannya dalam edisi ke-30 ini.
Pasukan XDS Astana dan Picnic PostNL merupakan pesaing di pentas WorldTour, sekali gus dijangka mengetengahkan pelumba bertaraf dunia dalam perlumbaan berstatus 2.ProSeries itu yang turut melibatkan lapan ProTeam, sembilan pasukan benua serta skuad kebangsaan.
Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Jefri Ngadirin berkata, pengurangan daripada 22 kepada 20 pasukan pada musim ini dibuat bagi mengurangkan kos yuran penampilan serta elaun pengangkutan yang diberikan kepada pasukan yang mengambil bahagian.
Katanya, walaupun terdapat pengurangan daripada jumlah pasukan namun status perlumbaan 2.ProSeries UCI itu tidak terjejas malah keperluan daripada segi teknikal, keselamatan pelumba tetap mengikut spefikasi badan induk dunia.
“Bajetlah (sebab pengurangan pasukan). Macam saya maklumkan, kita bayar yuran penampilan dan elaun pengangkutan kepada pasukan. Kalau WorldTeam ini kadarnya lebih tinggi.
“Namun pada masa yang sama kita masih lagi memenuhi keperluan UCI untuk ProSeries. Jadi, tak ada isu tentang status (perlumbaan),” katanya kepada pemberita dalam sidang media pengumuman pasukan LTdL 2026 di MSN, semalam.
Dua pasukan WorldTeam yang mengesahkan penyertaan adalah XDS Astana dari Kazakhstan dan Picnic PostNL dari Belanda manakala lapan pasukan ProTeam adalah Tudor Pro Cycling Team (Switzerland), Caja Rural-Seguros RGA, Equipo Kern Pharma dan Burgos-Burpellet (Sepanyol), TotalEnergies dan Unibet Rose Rockets (Perancis), Bardiani CSF-Saber (Itali) serta muka baharu, Modern Adventure Pro Cycling dari Amerika Syarikat.
Sembilan pasukan benua pula terdiri daripada Terengganu Cycling Team (TSG) dan Malaysia Pro Cycling (MPC) dari Malaysia, Thailand Continental Cycling Team (Thailand), 7-Eleven Cliqq Roadbike Philippines (Filipina), Nusantara Cycling Team (Indonesia), WheelTop Rotor Chengdu Cycling Team (China), Aisan Racing Team (Jepun), KSPO (Korea Selatan) dan St George Continental Cycling Team (Australia).
Dalam pada itu, Jefri berkata, penyertaan daripada ProTeam- Uno-X Mobility dan Polti VisitMalta pada edisi kali ini terpaksa ditolak oleh penganjur kerana Astana dan Picnic PostNL terlebih dahulu mengesahkan penyertaan mereka.
LTdL 2026 akan memulakan saingannya dari Shah Alam pada 27 September sebelum berakhir di Putrajaya pada 4 Oktober meliputi laluan sejauh 1,285.5km, menawarkan tiga pendakian utama di Gunung Jerai, Cameron Highlands dan Genting Highlands. – UTUSAN











