MATARAM: Kapal tentera laut dan beberapa kapal lain dikerahkan pada Rabu untuk menyelamatkan lebih 100 penumpang daripada sebuah feri yang terbakar di perairan berhampiran pulau pelancongan Bali, insiden kedua seumpamanya dalam tempoh beberapa hari.
Tiada laporan segera mengenai kematian atau kecederaan dalam kalangan penumpang dan anak kapal, dengan sekurang-kurangnya 114 orang berada di atas feri berkenaan.
Feri itu dalam perjalanan dari Bali menuju pulau Lombok yang terletak bersebelahan apabila terbakar pada awal pagi.
Ketua Agensi Mencari dan Menyelamat Mataram di Lombok, Muhamad Hariyadi berkata, jumlah sebenar penumpang yang berada di atas feri itu masih sedang disahkan.
Beliau berkata, penumpang dipindahkan menggunakan sekurang-kurangnya tiga kapal berbeza, termasuk sebuah kapal tentera laut dan sebuah lagi feri.
Kapal mencari dan menyelamat berada di lokasi kejadian, manakala sebuah helikopter melakukan pemantauan dari udara.
“Setakat ini, kami tidak menerima sebarang laporan mengenai kemalangan jiwa.
“Kami menghampiri kapal itu dan mengesahkan semua penumpang sudah tidak berada di atas kapal. Berdasarkan pemerhatian visual, kami tidak melihat sebarang penumpang di atas kapal,” kata Hariyadi kepada Metro TV.
Minggu lalu, lima orang maut selepas sebuah feri terbakar di perairan berhampiran pulau Jawa.
Bulan lalu, sebuah feri yang membawa lebih 70 orang karam ketika belayar berhampiran Selayar, sebuah pulau kecil di selatan Sulawesi.
Empat mayat ditemukan, namun operasi mencari dihentikan dengan 14 lagi individu masih secara rasmi dilaporkan hilang.-AFP











