Fasa terakhir Tropicana Cenang capai 20 peratus pengambilan - Utusan Malaysia

Fasa terakhir Tropicana Cenang capai 20 peratus pengambilan

IXORA (depan, tengah) bersama rakan kongsi dan agensi kerajaan dalam majlis pelancaran rasmi aplikasi hospitaliti T Journey di Assana Serviced Suites, Tropicana Cenang, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LANGKAWI: Projek Clarissa Serviced Suites milik Tropicana Corporation Berhad (Tropicana) yang merupakan fasa ketiga dan terakhir pembangunan Tropicana Cenang di Pantai Cenang, Langkawi merekodkan kadar pengambilan sebanyak 20 peratus sejak dilancarkan pada April tahun lalu.

Pengarah Urusan Pemasaran, Jualan dan Pembangunan Perniagaan Tropicana, Ixora Ang berkata, sambutan pasaran yang menggalakkan mendorong syarikat melancarkan fasa ketiga itu bersama unit pameran baharu Clarissa Serviced Suites.

Ujarnya, pembangunan berkenaan turut mengekalkan komitmen Tropicana terhadap aspek kualiti dan kemampanan.

“Ia menerusi pematuhan piawaian pensijilan bangunan hijau Green Real Estate (GreenRE), manakala kualiti pembinaannya akan dinilai secara bebas menerusi Sistem Penilaian Kualiti Pembinaan (QLASSIC).

“Selain itu, pembeli Clarissa Serviced Suites kebanyakannya terdiri daripada warga asing, berbeza dengan Assana Serviced Suites yang majoriti pembelinya adalah rakyat Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran rasmi aplikasi hospitaliti T Journey di Assana Serviced Suites, Tropicana Cenang, di sini.

Menurutnya, Clarissa Serviced Suites mempunyai nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM922.6 juta dan merupakan pembangunan pegangan bebas setinggi 40 tingkat yang menawarkan 806 unit suite servis berperabot lengkap.

“Unit berkenaan mempunyai keluasan binaan antara 536 hingga 1,356 kaki persegi dengan harga bermula RM668,800,” katanya.

Tropicana Cenang sebelum ini dimulakan menerusi fasa pertama, Assana Serviced Suites yang dilancarkan pada September 2021 dengan menawarkan 831 unit dalam sebuah blok setinggi 39 tingkat.

Unit berkenaan mempunyai keluasan binaan bermula 380 kaki persegi dengan harga permulaan RM500,000 dan kini telah habis dijual dengan 85 peratus pembelinya terdiri daripada rakyat Malaysia.

Susulan kejayaan fasa pertama, Tropicana melancarkan Merissa Serviced Suites sebagai fasa kedua pada Jun 2023.

Merissa yang mempunyai GDV sebanyak RM115 juta menawarkan 60 unit menghadap pantai dalam bangunan bertingkat rendah, dengan harga bermula RM1.71 juta.

Kedua-dua projek Assana Serviced Suites dan Merissa Serviced Suites telah siap dibangunkan pada April tahun ini, melengkapkan pembangunan Tropicana Cenang sebelum pengoperasian penuh ekosistem hospitaliti menerusi T Journey.

Melangkah ke hadapan, Tropicana kini sedang merangka pelan induk bagi dua projek pembangunan strategik di Langkawi, iaitu Tropicana Shores di Pantai Kok dan Tropicana Lagoon di Tanjung Rhu.

Kedua-dua pembangunan pegangan bebas ini terletak di koridor pelancongan dan hospitaliti mewah Langkawi.

Ia akan dibangunkan secara berfasa dalam tempoh kira-kira 10 hingga 15 tahun, merangkumi komponen kediaman, komersial, hospitaliti dan kesejahteraan.

Selain itu, projek-projek itu turut dirancang untuk memenuhi permintaan yang semakin meningkat bagi segmen kediaman mewah, rumah percutian dan gaya hidup berteraskan hospitaliti.

Ini sekali gus memperkukuhkan kedudukan Tropicana sebagai pemaju township and komuniti. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×