Pengurusan kematian jangan membebankan rakyat

Pengurusan kematian jangan membebankan rakyat

CAJ pengurusan pengkebumian di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah (TPIRS) meningkat kepada RM800 untuk anak kariah dan RM1,600 luar kariah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“Mahu hidup susah, mahu mati pun susah.” Itulah luahan Pengerusi Persatuan Penduduk Perumahan Awam Jalan Hang Tuah, Kuala Lumpur, Ismail Abdullah, susulan kenaikan kadar caj pengurusan pengkebumian di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah (TPIRS) yang berkuat kuasa pada 15 Mei, lalu.

Penstrukturan baharu yang diperkenalkan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) bersama Bahagian Pengurusan Masjid dan Tanah Perkuburan menyaksikan kenaikan caj yang amat tinggi. 

Sebagai contoh, kadar pengurusan pengkebumian bagi warganegara dewasa yang merupakan anak kariah meningkat daripada RM300 kepada RM800, manakala bagi luar kariah mencecah RM1,600. Jumlah ini belum termasuk kos memandikan jenazah dan perkhidmatan van jenazah.

Kenaikan sehingga 166 peratus disifatkan terlalu tinggi dan membebankan, khususnya kepada golongan B40, asnaf serta keluarga berpendapatan rendah di Wilayah Persekutuan. 

Sebagai kemudahan awam yang diuruskan oleh agensi kerajaan, TPIRS sepatutnya berfungsi sebagai institusi kebajikan dan perkhidmatan sosial, bukannya memberi gambaran seolah-olah berorientasikan keuntungan.

Kesan kenaikan ini turut dirasai oleh tabung khairat kematian di peringkat komuniti. Jika kadar baharu dikekalkan, banyak khairat kematian berdepan risiko kekurangan dana dan mungkin terpaksa menaikkan yuran tahunan kepada ahli. Langkah itu sudah tentu menambah beban penduduk yang kini berdepan peningkatan kos sara hidup.

Sehubungan itu, JAWI dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), yang mengurus kutipan zakat yang besar setiap tahun, disaran mempertimbangkan semula kadar caj tersebut. 

Kenaikan daripada RM300 kepada RM400 mungkin masih boleh difahami, namun peningkatan sehingga RM800  sukar diterima oleh kebanyakan rakyat.

Pengurusan kematian adalah sebahagian daripada tuntutan fardu kifayah yang seharusnya dipermudah, bukannya menjadi beban kepada waris. 

Semangat Rahmatan Lil Alamin dan aspirasi Kerajaan Madani wajar diterjemahkan melalui pengurusan kematian yang lebih berpatutan, prihatin dan mesra rakyat.

Kos pengurusan pengkebumian yang munasabah bukan sahaja meringankan beban keluarga, malah mencerminkan nilai ihsan Islam serta mampu menjadi antara pendekatan dakwah yang memperlihatkan keindahan agama kepada masyarakat bukan Islam.

Justeru, kadar caj pengurusan pengkebumian di TPIRS wajar disemak semula agar lebih berpatutan dan mampu ditanggung oleh seluruh warga Wilayah Persekutuan. – UTUSAN

 

AHMAD ASRI TALIB

Naib Pengerusi,

Parti Amanah  Negara (Amanah) Wilayah Persekutuan

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×