SKARDU: Pasukan mencari dan menyelamat menemukan empat mayat berhampiran lokasi runtuhan salji yang menyebabkan 10 pendaki dilaporkan hilang di utara Pakistan, menurut polis pada Jumaat.
“Laporan awal menunjukkan empat mayat telah ditemukan setakat ini,” kata jurucakap polis wilayah, Gilgit-Baltistan dalam satu kenyataan yang dimuat naik di Facebook.
Beliau berkata, keadaan baki pendaki yang masih hilang sedang dalam proses pengesahan.
Pendaki gunung terkenal Nepal, Nirmal Purja, adalah antara 10 individu yang dilaporkan hilang selepas runtuhan salji melanda utara Pakistan ketika beliau mengetuai satu ekspedisi pendakian.
Perkara itu disahkan Kelab Alpine Pakistan (ACP) selepas menerima laporan membimbangkan mengenai runtuhan salji yang melanda sekumpulan pendaki di Broad Peak setinggi 8,047 meter di banjaran Karakoram.
Broad Peak ialah gunung ke-12 tertinggi di dunia yang terletak di banjaran Karakoram di utara Pakistan dan dianggap antara pendakian paling sukar serta paling mencabar dari segi teknikal dalam kalangan gunung berketinggian melebihi 8,000 meter.
Puncak itu pertama kali berjaya ditawan pada 1957 oleh sekumpulan pendaki dari Austria.
Menurut ACP, ekspedisi itu disertai 10 individu terdiri daripada lima warga Nepal, seorang rakyat Pakistan, seorang warga Oman, seorang warga Amerika Syarikat (AS), seorang pendaki dari China dan seorang lagi warga asing.
“Keseluruhan pasukan itu dilaporkan terputus hubungan sejak runtuhan salji berlaku,” menurut kenyataan itu.
Purja, 43, yang pernah berkhidmat dalam Briged Gurkha Britain sebelum menyertai Special Boat Squadron Kor Marin Diraja Britain, telah memecahkan pelbagai rekod pendakian sejak menjadi pendaki gunung dan pemandu pelancong sepenuh masa.
Beliau mendaki kesemua 14 puncak gunung melebihi 8,000 meter dalam tempoh enam bulan enam hari antara April hingga Oktober 2019, yang ketika itu merupakan rekod dunia.
Pada 2021, Purja turut mencipta sejarah apabila berjaya melakukan pendakian musim sejuk pertama ke puncak K2 bersama sembilan lagi pendaki Nepal.
Selain Purja, beberapa lagi nama besar dalam dunia pendakian turut dilaporkan hilang, termasuk Pur Bahadur Gurung, yang lebih dikenali sebagai Yukta, serta Kili Pemba Sherpa.
Yukta merupakan pemandu gunung bertauliah yang diiktiraf oleh Persekutuan Antarabangsa Persatuan Pemandu Gunung (IFMGA) dan kini hampir melengkapkan cabaran 14 puncak, iaitu pendakian ke semua 14 gunung di dunia yang berketinggian sekurang-kurangnya 8,000 meter dari aras laut.
Pada musim bunga lalu, beliau berjaya menawan tiga puncak gunung berkenaan di Nepal, sekali gus menjadikan jumlah pendakiannya kepada 10 kali ke Gunung Everest dan 12 puncak melebihi 8,000 meter menjelang akhir musim itu.
Yukta juga merupakan sebahagian daripada pasukan yang menemukan sepasang kasut berusia lebih 100 tahun dengan ukiran A.C. Irvine dipercayai milik pendaki Britain, Andrew Sandy Irvine yang hilang bersama George Mallory ketika ekspedisi ke Everest pada 1924.
Sementara itu, Kili Pemba setakat ini sudah berjaya menawan Gunung Everest sebanyak 15 kali.
Pada 2021, beliau menyertai ekspedisi bersejarah pendakian musim sejuk ke K2 bersama beberapa pendaki Nepal lain termasuk Purja.
Kili Pemba juga merupakan pemandu yang membantu pendaki China yang kehilangan kedua-dua belah kaki, Xia Boyu menawan Gunung Everest pada 2018. Boyu kehilangan kedua-dua kakinya beberapa dekad sebelum itu ketika cuba menawan puncak Everest.
Jurucakap Kementerian Luar China, Mao Ning berkata, pihaknya sedang berusaha segera mengesahkan dan memahami situasi itu serta menyatakan Beijing bersedia menghulurkan bantuan kepada Pakistan.
ACP memaklumkan pasukan penyelamat yang dilengkapi peranti geolokasi telah dihantar untuk mengesan pendaki yang hilang.
“Melalui Sistem Kedudukan Global (GPS), kami telah berjaya mengesan lokasi empat pendaki. Buat masa ini, kami belum dapat memastikan apa sebenarnya yang berlaku,” kata Setiausaha Agung ACP, Ayaz Shigri kepada AFP di bandar Skardu.
Menurut ACP, helikopter tentera turut digerakkan bagi memperkukuh operasi mencari di darat serta membantu usaha menyelamat dalam persekitaran altitud tinggi yang mencabar.










