PETALING JAYA: Rizab rasmi antarabangsa Malaysia kekal pada paras yang kukuh apabila mencatat AS$132.57 bilion setakat akhir Jun 2026, manakala aset mata wang asing lain berjumlah AS$1.55 bilion.
Bank Negara Malaysia (BNM) berkata, bagi tempoh 12 bulan akan datang, aliran keluar jangka pendek yang telah dikenal pasti bagi pinjaman, sekuriti dan deposit mata wang asing berjumlah AS$8.65 bilion.
“Jumlah itu merangkumi pembayaran balik berjadual pinjaman luar negara oleh Kerajaan serta kematangan Bil Antara Bank BNM dalam mata wang asing.
“Pada masa sama, kedudukan jualan hadapan bersih direkodkan sebanyak AS$27.19 bilion pada akhir Jun 2026, sekali gus mencerminkan pengurusan mudah tunai ringgit dalam pasaran wang oleh bank pusat,” katanya dalam kenyataan.
Menurut BNM, selaras dengan amalan yang diguna pakai sejak April 2006, data tersebut tidak mengambil kira unjuran aliran masuk mata wang asing daripada pendapatan faedah dan pengeluaran pinjaman projek.
“Bagi tempoh 12 bulan akan datang, aliran masuk berkenaan diunjur berjumlah AS$2.98 bilion,” katanya.
Sementara itu, satu-satunya aliran keluar bersih jangka pendek yang bersifat kontingensi ialah jaminan kerajaan terhadap hutang luar negara dalam mata wang asing yang akan matang dalam tempoh setahun, berjumlah AS$846.4 juta.
Bank pusat berkata, rizab antarabangsa Malaysia tidak mengandungi sebarang pinjaman mata wang asing yang mempunyai opsyen, selain tidak mempunyai kemudahan kredit atau kemudahan kredit tanpa syarat yang belum digunakan dengan bank pusat lain, organisasi antarabangsa serta institusi kewangan.
BNM berkata, pihaknya tidak terbabit dalam sebarang urus niaga opsyen mata wang asing terhadap ringgit, sekali gus mencerminkan pengurusan rizab yang berhemat dan telus. – UTUSAN










