KUALA LUMPUR: Lagu ikonik yang pernah mencetuskan fenomena pada penghujung tahun 90-an, Cinta Di Akhir Garisan, kini diberi nafas baharu menerusi versi 2.0 dengan skala produksi yang lebih megah dan bertaraf antarabangsa.
Diterbitkan oleh Usanita Entertainment, naskhah kali ini menyaksikan sentuhan magis komposer, Ajai, yang menyatukan empat vokalis berpengaruh masa kini iaitu Nadeera Zaini, Adira Suhaimi, Marsha Milan dan Aishah Retno.
Ajai atau Mohd Faizal Maas, 51, menyifatkan projek ini sebagai penyambung legasi yang tidak wajar dibandingkan dengan versi asal nyanyian Ziana Zain, Nora, Ning Baizura dan Dessy Fitri.
“Kita jangan samakan versi ini dengan cara penyanyi asal. Sekarang adalah masa untuk generasi baharu dan legasi baharu.
“Sebab itu untuk versi 2.0 ini, saya mahu impak muziknya berbeza sepenuhnya. Kita bukan sekadar rakam lagu, tetapi kita tawarkan satu pakej lengkap yang sangat gah,” katanya pada majlis pelancaran projek berkenaan di Istana Budaya pada Khamis.
Apa yang menarik, kemegahan versi baharu ini turut diperkuatkan dengan penglibatan 53 pemuzik orkestra dari Budapest, Hungary, bagi memberikan kualiti susunan muzik yang lebih baik.
Menurut Ajai, walaupun rakaman vokal dilakukan di Malaysia, dia memantau setiap perincian proses rakaman orkestra di Budapest secara atas talian bagi memastikan skoring yang dihasilkan menepati piawaian gred A.
“Kita menggunakan khidmat pemuzik profesional sepenuhnya. Malah, untuk proses adunan (mixing) dan pelarasan (mastering), saya tetap memilih individu berpengalaman seperti Greg Henderson dan Don Bartley yang sudah biasa bekerja dengan produksi saya,” jelasnya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Usanita Entertainment, Datuk Azliana Hassan,
menyifatkan pemilihan empat penyanyi berkenaan dibuat berdasarkan kredibiliti dan kemampuan vokal mereka yang sudah teruji.
“Di Usanita, kualiti mengatasi kuantiti. Bukan sahaja lagu ini dirakam dengan orkestra luar negara, malah video muziknya juga dirakam di Istana Budaya. Kami merupakan produksi pertama yang dibenarkan menggunakan semula premis tersebut selepas sekian lama ditutup.
“Keserasian Nadeera, Adira, Marsha dan Aishah sangat luar biasa. Walaupun masing-masing mempunyai kekuatan vokal tersendiri, mereka saling memberi ruang dan tidak ada istilah cuba ‘overshadow’ antara satu sama lain,” katanya.
Mengulas mengenai perancangan masa depan, pihak Usanita dan Ajai mendedahkan satu konsert berskala besar, Konsert Cinta Di Akhir Garisan, sedang dirancang untuk diadakan di Axiata Arena tidak lama lagi.
Konsert tersebut dijangka bakal menghimpunkan keempat-empat penyanyi versi 2.0 ini, malah tidak menolak kemungkinan untuk menggabungkan mereka bersama penyanyi asal di atas satu pentas.
Lagu Cinta Di Akhir Garisan 2.0 dijangka akan menemui peminat di semua platform digital dalam tempoh dua minggu lagi. -UTUSAN










