KUALA LUMPUR: Tindakan Hartal Doktor Kontrak atau mogok di seluruh negara yang dijadualkan pada 26 Julai ini adalah pilihan terakhir kumpulan berkenaan selepas pelbagai cara dilakukan bagi memastikan mereka diserap ke dalam perkhidmatan tetap.
Namun, kepincangan kerajaan untuk menjelaskan hala tuju dan tiada jaminan kerjaya sebagai doktor tetap selepas menamatkan kontrak mendorong pegawai perubatan melakukan protes.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, jurucakap Hartal Doktor Kontrak dikenali sebagai Dr. Prakash, 31, berkata, mogok berkenaan bukannya berniat menjahanamkan sistem kesihatan di negara ini.
Sebaliknya, beliau yang sudah tiga tahun berkhidmat sebagai doktor hanya mahu memperjuangkan hak dilantik secara tetap kerana negara memerlukan lebih ramai doktor untuk merawat pesakit.
“Bayangkan, kami doktor kontrak dianggap setaraf dengan mereka yang lantikan tetap tetapi hakikatnya tidak berpeluang pun untuk meneruskan pengajian di peringkat sarjana bagi bergelar pakar.
“Dari segi gaji pun tidak sama apabila kami tidak menerima pelbagai imbuhan seperti doktor tetap kerajaan sedangkan amalan perubatan yang dilakukan sama sahaja.
“Majoriti doktor pakar sekarang berusia 44 tahun hingga 48 tahun. Dalam masa 10 tahun akan datang, sudah pasti kita kekurangan pakar kerana kami tidak berpeluang ke arah itu,” katanya yang mahu menjadi pakar perunding ortopedik.
Sekumpulan pegawai perubatan kontrak yang mewakili 23,000 kalangan perjawatan itu memberi kata dua kepada kerajaan untuk melakukan mogok pada akhir bulan ini jika masih tiada jalan penyelesaian isu pelantikan tetap mereka.
Jurang gaji RM700 sebulan dan tiada peluang melanjutkan pelajaran kecuali atas tajaan sendiri (parallel pathway) yang hanya melibatkan disiplin perubatan tertentu antara isu yang akan dibangkitkan ketika mogok nanti.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, Presiden Persatuan Doktor-Doktor Islam Malaysia (Perdim), Datuk Dr. Ahmad Shukri Ismail sebagai berkata, 60 peratus atau 3,600 daripada 6,000 graduan perubatan dihasilkan setiap tahun adalah golongan bumiputera.
Pun begitu, hanya 50 peratus bersamaan 1,800 siswazah daripada 3,600 diserap ke dalam perkhidmatan berdasarkan perjawatan sedia ada selepas masing-masing menamatkan kontrak manakala selebihnya dijangka menganggur.
Senada dengan Dr. Prakash, Dr. Mohamad, 29, dari Melaka berkata, beliau tidak menafikan penglibatannya dalam isu mogok bulan depan bakal menjejaskan profesion pengamal perubatan.
Namun, hanya melalui mogok dapat menarik perhatian kerajaan sekali gus membantu semua doktor kontrak setelah pelbagai usaha dibenarkan di sisi undang-undang tidak berhasil.
Beliau berkata, lokasi mogok belum ditentukan tetapi bakal dijalankan serentak di seluruh negara dan 50 peratus doktor kontrak bersetuju menyertainya secara profesional malah mendapat sokongan doktor-doktor lantikan tetap kerajaan.
“Kami masih perhalusi bagaimana mogok ini boleh dilakukan. Pastinya, mogok ini tidak akan menjejaskan mana-mana pesakit kami terutamanya ketika wabak Covid-19.
“Hanya ini saluran untuk kami menzahirkan kekecewaan, putus harapan sebab sudah empat tahun berkhidmat secara kontrak tetapi kerajaan masih tiada solusi bantu kami,” katanya. – UTUSAN ONLINE










