LONDON: Pengurus England, Thomas Tuchel membidas Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump selepas pemimpin itu mengkritik pendekatan taktikalnya dalam kekalahan dramatik The Three Lions kepada Argentina pada aksi separuh akhir Piala Dunia 2026.
Trump sebelum itu mempersoalkan keputusan Tuchel meletakkan kapten England, Harry Kane dalam peranan lebih bertahan selepas pasukannya mendahului perlawanan sambil menyifatkan tindakan tersebut sebagai antara punca kebangkitan Argentina yang akhirnya meraih kemenangan.
“Saya fikir England mungkin melakukan kesilapan apabila menjadikan pemain terbaik mereka lebih banyak bertahan. Apa yang saya tahu tentang bola sepak?
“Mereka sudah mendahului, kemudian mereka meletakkan pemain terbaik di bahagian pertahanan. Apa yang saya tahu tentang kejurulatihan? Itu agak luar biasa,” katanya ketika menghadiri satu acara bersama Presiden FIFA, Gianni Infantino.
Mengulas kenyataan itu, Tuchel memberikan reaksi sinis apabila mempersoalkan kewajaran pandangan Trump dijadikan rujukan terhadap keputusan taktikalnya.
“Adakah anda menggunakan Donald Trump sebagai saksi untuk hujah itu?
“Kami bertahan menggunakan blok rendah. Itulah yang perlu dilakukan apabila pasukan diasak. Kami bertahan sebagai satu unit dan apabila dipaksa bermain dalam blok rendah, semua pemain perlu menjalankan tugas bertahan,” katanya.
England dikejutkan dengan dua gol Argentina dalam tempoh tujuh minit terakhir perlawanan sehingga terpaksa melupakan impian untuk mara ke pentas final.
Kekalahan itu turut mengundang kritikan hebat daripada beberapa bekas pemain England yang menyifatkan pendekatan Tuchel terlalu berhati-hati. – AGENSI










