BATU PAHAT: Walaupun Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berbeza pendirian di peringkat kepimpinan pusat, kerjasama akar umbi dalam Perikatan Nasional (PN) disifatkan masih stabil.
Calon PN Dewan Undangan Negeri (DUN) Senggarang, Datuk Mohd. Rashid Hasnon berkata, tumpuan utama ketika ini adalah memperkukuhkan perpaduan orang Melayu dan kestabilan politik serta tidak berlaku perpecahan.
“Perpecahan dalam kalangan orang Melayu boleh memberi kesan kepada kestabilan negara, sekali gus membuka ruang kepada ketidaktentuan politik lebih besar pada masa depan.
“Walaupun berbeza parti, namun hubungan di peringkat kampung dan komuniti masih erat kerana mereka sering berhubung dan bekerjasama dalam pelbagai perkara,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia, semalam.
Sebelum ini, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, Pas sudah membatalkan kerjasama politik dengan Bersatu dan jentera parti masing-masing bergerak berasingan.
Katanya, Senggarang menjadi contoh kerjasama baik di peringkat akar umbi apabila semua penyokong parti masih bekerjasama tanpa sebarang konflik.
“Saya berharap hubungan baik di peringkat akar umbi dikekalkan dan tidak diganggu oleh sebarang isu yang boleh menjejaskan perpaduan masyarakat setempat,” katanya.-UTUSAN











