BESUT: Pada usia 36 tahun, Tuan Mohd. Yusri Tuan Saidi mempunyai tubuh yang kecil dengan berat hanya 35 kilogram kerana menghidap talasemia sejak kecil.
Keadaan itu membuatkan dia sering disangka budak walaupun sebenarnya sudah dewasa.
Beliau berkata, penyakit talasemia yang dihidapinya itu dikesan ketika dia berusia tujuh tahun semasa pemeriksaan kesihatan di sekolah sebelum dilanjutkan ke Hospital Besut.
Katanya, penyakit itu menyebabkan pembesarannya terbantut selain memerlukan rawatan berterusan sehingga kini.
“Sejak tahun lima saya sudah masuk darah dan ketika tingkatan empat perlu menerima darah hampir setiap minggu.
“Keadaan kesihatan saya semakin mencabar apabila terpaksa menjalani pembedahan membuang limpa pada 2007 selepas organ berkenaan rosak akibat penyakit itu,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Padang Tapong di sini.
Anak sulung daripada tiga beradik itu berkata, sehingga kini dia masih perlukan rawatan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) dua hingga tiga kali sebulan selain menjalani transfusi darah secara berkala.
Menurut Yusri, kekerapan memasukkan darah membuatkan zat besi dalam badannya menjadi terlalu tinggi sehingga perlu guna mesin khas untuk membuangnya selepas proses transfusi darah.
Mereka yang ingin membantu boleh hubungi Yusri di 013-9533541 atau salurkan sumbangan ke akaun Bank Simpanan Nasional nombor 1100541000179797. – UTUSAN











