Mukadimah
MENINGGALKAN kerjaya yang stabil sebagai peguam, apatah lagi setelah menghabiskan bertahun-tahun menimba ilmu dan membina pengalaman dalam bidang tersebut, bukanlah satu keputusan mudah.
Namun calon Pakatan Harapan (PH) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mengkibol, CHU POH YEE nekad membuat pilihan itu demi merealisasikan hasrat untuk berkhidmat kepada rakyat.
Dalam temu bual bersama wartawan Utusan Malaysia, ARIF AIMAN ASROL, Poh Yee berkongsi aspirasi dan perancangannya sekiranya diberi mandat oleh pengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
UTUSAN: Mengapa mahu bertanding PRN Johor?
CHU POH YEE: Selepas saya memperoleh pengalaman di dunia lain iaitu bandar besar, saya balik ke Kluang kerana mahu berbakti kepada rakyat di sini.
Saya lihat Kluang sudah menjadi lebih maju, di sebabkan itu saya selaku anak muda menjadi yakin bahawa Kluang mempunyai potensi besar.
Oleh itu, saya tampil ke hadapan kerana pemimpin Pakatan Harapan sebelum ini sudah menjadi harapan, maka saya juga boleh menjadi harapan untuk anak muda lain.
Sebelum itu, boleh perkenalkan diri?
Saya berumur 33 tahun dan pernah menjadi seorang peguam di Kuala Lumpur, Selangor dan sekarang di Kluang sejak lima tahun lalu.
Kluang tempat saya lahir dan membesar. Dahulu saya bersekolah di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chong Hwa 3, selepas itu saya bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Canossian Convent.
Saya ke Kuala Lumpur untuk menyambung pengajian dalam bidang undang-undang dan seterusnya melanjutkan pengajian ke England.
Apakah dilakukan jika diberi mandat?
Saya berharap sekiranya diberi mandat, saya mahu menjadikan Mengkibol dan Kluang sebagai tempat untuk mencari rezeki, membina keluarga dan hidup dengan bahagia.
Saya mahu mendorong golongan wanita supaya mereka dapat mengimbangi antara kerjaya dan keluarga serta mengalakkan mereka bekerja dan membina kerjaya untuk diri sendiri. Kita juga mempunyai kemampuan untuk menjadi seorang yang lebih baik.
Sekarang permohonan lesen perniagaan amat susah untuk diluluskan, jadi saya berharap dapat memperjuangkan perkara ini untuk rakyat Mengkibol.
Komen kempen disabotaj
Ya, beberapa bahan kempen dirosakkan dengan sengaja dan dibuang ke dalam longkang. Bendera yang sudah rosak pula kami temui bertaburan di tepi jalan. Ini bukan berpunca daripada faktor cuaca seperti hujan atau angin, kami percaya ia sengaja dilakukan.
Sepanjang tempoh kempen, selagi mematuhi peraturan yang ditetapkan, setiap bahan kempen wajar dihormati. Tindakan merosakkan bahan kempen pilihan raya bukan sekadar satu gangguan, malah menunjukkan sikap tidak menghormati prinsip demokrasi.
Pesanan untuk pengundi Mengkibol
Undi kali ini sangat penting, jangan pandang rendah pada hak kita semua sebagai pengundi. Walaupun sepanjang saya berkempen ini ramai yang memberi kata-kata semangat, tetapi bagi saya, undi rakyat menjadi penentu segalanya.
Jadi saya perlukan bantuan semua warga Mengkibol, semua perlu keluar mengundi pada 11 Julai ini, ia tidak akan mengambil masa yang lama tetapi ia penting demi masa depan rakyat Johor.










