ISLAMABAD: Pakistan mengesahkan melancarkan serangan udara di timur Afghanistan semalaman, dengan mendakwa operasi itu menyasarkan kumpulan militan yang dipersalahkan atas serangan maut di Karachi pada hujung minggu lalu.
Menteri Penerangan Pakistan berkata, serangan itu mengorbankan 25 militan dan turut membabitkan operasi darat di kawasan sempadan yang menyasarkan kumpulan Jamaat-ul-Ahrar, iaitu serpihan kumpulan Tehrik-i-Taliban Pakistan (TTP).
“Tiga sasaran di wilayah Paktia, Paktika dan Kunar berjaya dimusnahkan menerusi serangan tepat,” katanya dalam satu kenyataan, sambil memaklumkan empat lagi militan terbunuh dalam operasi darat.
Bagaimanapun, kerajaan Taliban di Afghanistan mendakwa serangan udara di tiga wilayah timur negara itu mengorbankan atau mencederakan puluhan orang awam.
Jurucakap kerajaan Taliban, Zabihullah Mujahid, mengutuk tindakan Pakistan dan menyifatkannya sebagai tindakan pencerobohan yang pengecut.
Islamabad mendakwa kumpulan militan yang bertanggungjawab terhadap serangan di Karachi berpangkalan di Afghanistan, namun Kabul berulang kali menafikan wilayahnya digunakan sebagai tempat perlindungan kumpulan bersenjata.
Serangan terbaharu itu sekali lagi meningkatkan ketegangan antara kedua-dua negara, yang hubungan diplomatik dan keselamatannya semakin meruncing sejak Taliban kembali berkuasa pada 2021. Ia juga berlaku selepas konflik bersenjata selama beberapa minggu yang tercetus antara kedua-dua pihak pada Februari lalu.
Kedua-dua negara berjiran itu bersetuju melaksanakan gencatan senjata pada Mac lalu, namun beberapa serangan terpencil terus berlaku sejak itu. Menurut pegawai Afghanistan, serangan udara Pakistan pada Jun lalu mengorbankan 13 orang.
Ketika Pakistan berperanan sebagai orang tengah dalam usaha Amerika Syarikat (AS) dan Iran menamatkan konflik di Asia Barat, Islamabad menegaskan operasi ketenteraannya di Afghanistan perlu diteruskan bagi membanteras ancaman militan di dalam negara.
Dalam insiden terbaharu, letupan berlaku diikuti serangan bersenjata ke atas sebuah kem separa tentera Rangers di Karachi pada Sabtu, dalam antara serangan militan paling buruk yang melanda bandar terbesar Pakistan itu sejak beberapa tahun lalu.
Pihak berkuasa memaklumkan tiga anggota pasukan separa tentera terbunuh, manakala seorang warga Afghanistan yang dipercayai terbabit dalam serangan itu berjaya ditahan bersama beberapa suspek lain.
Pakistan menegaskan pasukan keselamatannya melaksanakan serangan secara tepat ke atas lokasi persembunyian dan simpanan senjata militan, khususnya milik Tehrik-i-Taliban Pakistan (TTP), yang sekian lama melancarkan kempen keganasan terhadap negara itu.
Bagaimanapun, pihak berkuasa Afghanistan berulang kali menafikan wilayah mereka digunakan sebagai pangkalan kumpulan militan dan mendakwa operasi ketenteraan Pakistan telah mengorbankan ramai orang awam.
Malah, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebelum ini memaklumkan serangan Pakistan ke atas sebuah pusat rawatan penagihan dadah pada Mac lalu mengorbankan ratusan orang.
Pakistan dan Afghanistan berperang pada akhir Februari, dengan keganasan selama berminggu-minggu mengorbankan ratusan orang dan puluhan ribu orang kehilangan tempat tinggal, menurut PBB.- AFP










