BELGRADE: Presiden Serbia, Aleksandar Vucic pada Sabtu mengumumkan bahawa beliau akan meletak jawatan dalam tempoh beberapa minggu lagi bagi membolehkan negara itu mengadakan pilihan raya presiden dan parlimen lebih awal, susulan gelombang protes antikerajaan yang berlarutan selama 18 bulan.
Pengumuman mengejut oleh Vucic yang telah memegang tampuk kekuasaan sebagai presiden sejak 31 Mewi 2017 dibuat di tengah-tengah demonstrasi antirasuah berterusan yang diterajui oleh golongan mahasiswa.
Protes tersebut dicetuskan oleh insiden runtuhan bumbung di sebuah stesen kereta api di bandar utara Novi Sad pada November 2024, yang mengorbankan 16 nyawa.
Para penunjuk perasaan, pihak pembangkang dan kumpulan hak asasi manusia mendakwa bencana stesen kereta api itu merupakan petanda jelas berhubung salah urus kerajaan dalam projek pembinaan serta isu rasuah.
“Saya hanya akan menjadi presiden untuk beberapa minggu sahaja lagi dan selepas itu, saya akan meletak jawatan,” kata Vucic di hadapan ribuan penyokongnya dalam satu perhimpunan prokerajaan di ibu negara, Belgrade. Mandat kedua dan terakhir Vucic sepatutnya berakhir pada pertengahan 2027.
Vucic menegaskan beliau akan membantu parti pimpinannya, Parti Progresif Serbia (SNS) untuk memenangi pilihan raya presiden dan pengundian awal parlimen, yang asalnya turut dijadualkan pada 2027.
“Cadangan saya adalah agar senarai calon kita, iaitu senarai pemenang dalam pilihan raya akan datang dinamakan sebagai ‘Serbia Bersatu,” tambahnya.
Bagaimanapun, beliau tidak menyatakan tarikh rasmi peletakan jawatannya mahupun waktu parlimen akan dibubarkan. Ia merupakan syarat utama sebelum pilihan raya parlimen awal boleh dilaksanakan. – AGENSI










