BAITULMUQADDIS: Menteri Pertahanan Israel, Israel Katz menegaskan tentera negara itu akan terus berada di Lubnan selagi Hizbullah tidak meletakkan senjata.
Beliau mengarahkan tentera Israel supaya bersiap sedia untuk berada lebih lama’ di selatan Lubnan.
“Israel tidak akan menempatkan semula tenteranya di selatan Lubnan dan tidak akan berundur selagi pertubuhan Hizbullah tidak melucutkan senjata,” katanya.
Katz pada Sabtu turut memberi amaran akan menggunakan kekuatan besar terhadap Iran sekiranya negara itu cuba menyerang Israel bagi menghalang pelaksanaan perjanjian dengan Lubnan.
Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu pada Sabtu menyifatkan perjanjian yang dicapai antara Israel dan Lubnan sebagai tamparan kepada Iran dan Hizbullah.
Pemimpin kumpulan bersenjata itu, Naim Qassem mengisytiharkan perjanjian tersebut sebagai tidak sah.
Perjanjian yang dimeterai di Washington pada Jumaat selepas lima pusingan rundingan itu adalah bertujuan membuka jalan ke arah keamanan antara kedua-dua negara jiran. Ia turut merangkumi rancangan untuk melucutkan senjata Hizbullah.
Qassem menyifatkan perjanjian itu sebagai memalukan, mengaibkan dan menyerahkan kedaulatan serta memberi amaran ia boleh membuka jalan kepada ‘rampasan’ Israel di selatan Lubnan.
“Perjanjian ini terbatal dan tidak sah dan peruntukan memorandum persefahaman Iran-Amerika Syarikat (AS) mesti dilaksanakan,” katanya.
Beliau merujuk kepada perjanjian antara kedua-dua negara itu bagi menamatkan perang di Asia Barat, yang turut merangkumi gencatan senjata di Lubnan.
Netanyahu mengulangi pendirian itu dalam taklimat yang disiarkan menerusi televisyen dengan berkata, AS dan Lubnan telah mengiktiraf hak Israel untuk mengekalkan zon keselamatan di dalam wilayah negara itu selagi ia diperlukan bagi menjamin keselamatan mereka.
Presiden Lubnan, Joseph Aoun dalam perbualan telefon dengan Presiden AS, Donald Trump pada Sabtu berkata, kerajaan Lubnan akan memikul tanggungjawab melaksanakan perjanjian berkenaan, menurut kenyataan pejabatnya.
Menurut kenyataan itu, Aoun memberitahu Trump, beliau berharap AS akan membantu menghalang sebarang pelanggaran perjanjian dan memastikan semua komitmen dipenuhi, khususnya dengan memberi tekanan kepada Israel supaya berundur dari kawasan yang didudukinya di selatan negara tersebut. Ia adalah bagi membolehkan tentera Lubnan dikerahkan sehingga ke sempadan antarabangsa.
Perjanjian itu turut menerima kritikan dari dalam Israel, apabila Menteri Keselamatan berhaluan kanan, Itamar Ben Gvir pada Sabtu mengecamnya dengan menegaskan hanya tentera Israel mampu melucutkan senjata Hizbullah.
Lubnan terheret ke dalam perang serantau pada 2 Mac apabila Hizbullah yang disokong Teheran melancarkan roket ke arah Israel sebagai tindak balas terhadap pembunuhan pemimpin tertinggi Iran dalam serangan AS-Israel.
Israel kemudian membalas dengan serangan udara besar-besaran dan melancarkan pencerobohan ke selatan Lubnan, di mana tenteranya masih menguasai beberapa kawasan serta melakukan pemusnahan meluas terhadap bangunan termasuk rumah. – AFP










