Ibadah korban bukan sekadar memenuhi tuntutan syariat, malah menjadi lambang nilai ihsan, kasih sayang dan keprihatinan terhadap golongan yang memerlukan.
Berteraskan semangat itu, Pertubuhan Ihsanku Malaysia (Ihsanku) melaksanakan Program Ihsan Korban sepanjang 10 hingga 13 Zulhijjah lalu di enam negara iaitu Malaysia, Selatan Thailand, Zimbabwe, Indonesia, Kemboja dan Malawi, yang memberi manfaat kepada 10,680 penerima.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Muhammad Syariffuddin Supeni berkata, selain ibadah korban, pihaknya turut menyalurkan bantuan fidyah dan kantung ihsan kepada 4,250 penerima daripada golongan asnaf serta komuniti yang memerlukan.
“Program itu turut memberi sinar kepada masyarakat Melayu-Islam di Selatan Thailand yang berdepan cabaran ekonomi, selain memperkukuh ukhuwah melalui penyaluran bantuan di Indonesia dan Kemboja.
“Bagi komuniti di Zimbabwe dan Malawi pula, program berkenaan bukan sahaja menyediakan bekalan makanan sempena Aidiladha, malah memberi harapan kepada keluarga asnaf serta penduduk pedalaman yang jarang menerima bantuan,” katanya baru-baru ini.
Sejak ditubuhkan pada 2023, Ihsanku memberi tumpuan kepada empat teras utama iaitu zero hunger, accessibility, uplift education dan community development sebagai panduan dalam melaksanakan pelbagai inisiatif kebajikan di dalam dan luar negara.











