Udang celup tepung satu kilometer cipta rekod MBOR

Udang celup tepung satu kilometer cipta rekod Malaysia

UDANG celup tepung dihidangkan sepanjang satu kilometer di pesisir pantai Rhu 10, Setiu Terengganu, mendapat pengiktirafan The Malaysia Book of Records. – MINGGUAN//PUQTRA HAIRRY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SETIU: Daerah ini mencipta sejarah tersendiri apabila menerima pengiktirafan daripada The Malaysia Book of Records (MBOR) dengan menyediakan hidangan udang celup tepung sepanjang satu kilometer di Rhu 10, di sini, semalam.

Hidangan itu dihasilkan menerusi kerjasama 21 pengusaha celup tepung dari Penarik dan Rhu Sepuluh yang bergotong-royong menyediakan kira-kira 1,000 kilogram udang segar.

Pegawai Daerah Setiu, Yusaini Amir Mohamad Nor berkata, udang celup tepung digoreng sejak awal pagi sebelum dihidangkan di atas 547 buah meja yang disusun di laluan sepanjang satu kilometer di pesisir pantai.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Ini bukan sekadar hida­ngan, tetapi simbol kerjasama komuniti dan identiti Setiu yang terkenal dengan makanan celup tepung. Semua udang segar ini disumbangkan Blue Archipelago Berhad yang mengusahakan kolam udang di daerah ini.

“Menerusi pencapaian ini, kita mahu lebih ramai pelancong tempatan dan antarabangsa datang menikmati keunikan celup tepung di sini, sekali gus membantu meningkatkan ekonomi penduduk setempat,” katanya ditemui pada Karnival Pekan Budaya Daerah Setiu di Rhu 10, semalam.

Program berkenaan diharap menjadi pemangkin kepada sambutan Tahun Melawat Te­reng­ganu 2027.

Mengenai persiapan menjayakan program itu, beliau berkata persiapan mengambil masa lebih sebulan termasuk penyelarasan logistik, penyedia­an bahan mentah serta susun atur meja di kawasan pantai.

Katanya, pengiktirafan MBOR itu mampu mengangkat lagi populariti Setiu sebagai destinasi makanan laut dan pelancongan di Terengganu.

Sementara itu, hidangan udang celup tepung itu turut diagihkan secara percuma kepada kira-kira 1,000 pengunjung yang hadir memeriahkan karnival berkenaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN