WASHINGTON: Presiden Donald Trump mengancam untuk mengenakan tarif 100 peratus ke atas semua barangan import dari mana-mana negara yang mengenakan cukai perkhidmatan digital terhadap syarikat Amerika Syarikat (AS).
Dalam satu hantaran di media sosial, Trump berkata, beberapa negara di Eropah sedang membincangkan pelaksanaan cukai perkhidmatan digital ke atas syarikat AS dalam masa terdekat.
“Sebilangan negara ini hampir melaksanakan langkah itu.
“Sila anggap kenyataan ini sebagai pemberitahuan bahawa mana-mana negara yang mengenakan cukai tersebut akan serta-merta dikenakan tarif 100 peratus ke atas semua barangan yang dihantar ke Amerika,” katanya.
Trump berkata, tarif baharu itu akan mengatasi sebarang perjanjian perdagangan dengan AS, sama ada yang dilaksanakan, ditandatangani atau belum.
Ini termasuk perjanjian yang dipersetujui antara AS dan Kesatuan Eropah (EU) pada 2025, yang mengehadkan tarif AS ke atas barangan Eropah kepada 15 peratus sebagai pertukaran kepada pengurangan tarif EU ke atas barangan industri dari AS kepada sifar.
Namun, proses perundangan EU yang panjang bagi memenuhi komitmen blok itu di bawah perjanjian berkenaan mendorong Trump mengancam untuk mengenakan semula tarif 25 peratus ke atas import dari Eropah, termasuk kereta.
Penggubal undang-undang EU kemudian berusaha keras untuk memenuhi tarikh akhir yang ditetapkan Trump bagi melaksanakan perubahan tersebut sebelum 4 Julai.
Minggu lalu, beberapa jam sebelum kedua-dua pemimpin bertemu di sidang kemuncak Kumpulan G7, Presiden Perancis Emmanuel Macron berkata Perancis tidak akan tunduk kepada tekanan Trump untuk memansuhkan cukai digital ke atas syarikat teknologi gergasi AS.
Cukai perkhidmatan digital itu merangkumi aktiviti seperti pasaran dalam talian dan pengiklanan digital.
Sebelum berlepas ke sidang kemuncak di Perancis, Trump memberi amaran AS ‘tiada pilihan’ selain mengenakan tarif 100 peratus ke atas wain Perancis jika Paris tidak memansuhkan cukai digitalnya.
Perancis mengenakan levi sebanyak 3 peratus sejak 2019 ke atas hasil daripada perkhidmatan digital yang diperoleh syarikat dengan pendapatan melebihi €25 juta (RM113.6 juta) di negara itu dan €750 juta di seluruh dunia.
Wakil rakyat Perancis pada 2025 mencadangkan untuk menggandakan cukai tersebut kepada 6 peratus.
Pejabat Wakil Perdagangan AS telah lama mengancam Perancis, United Kingdom (UK), Austria, Sepanyol dan beberapa negara Eropah lain dengan tarif balas jika mereka mengenakan cukai perkhidmatan digital, dengan mendakwa cukai tersebut mendiskriminasi syarikat AS yang mendominasi sektor itu secara global.- AGENSI









