PRN Johor medan uji pengaruh parti

PRN Johor medan uji pengaruh parti

SEBANYAK 56 buah kerusi DUN dipertandingkan dalam PRN Johor yang akan bermula 27 Jun ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Gelanggang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor secara rasminya bermula hari ini dengan penamaan calon bagi 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), menyaksikan persaingan sekurang-kurangnya lima blok utama politik iaitu Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH), Perikatan Nasional (PN), Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) termasuk Parti Bersama Malaysia (Bersama) yang pertama kali memasuki pertempuran pilihan raya.

Memuatkan artikel berkaitan…

PRN kali ini dijangka menjadi kayu ukur untuk menguji kekuatan parti-parti utama serta pengaruh gabungan politik dalam mencorakkan landskap politik negara. Keputusannya juga dilihat mampu menjadi petunjuk awal kepada corak persaingan menjelang PRN Negeri Sembilan dan Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

Tumpuan pastinya terarah kepada PN yang dilihat berdepan cabaran terbesar dari sudut penyelarasan dalaman apabila beberapa parti komponennya mengumumkan calon masing-masing secara berasingan, sekali gus memberi gambaran wujud perbezaan pendekatan dalam menghadapi pilihan raya negeri tersebut walaupun menggunakan logo yang sama.

Bagaimanapun, Pengerusi PN, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar memberikan jaminan bahawa tiada pertembungan antara jentera Pas dan Bersatu.

Pas mengesahkan bertanding di 11 kerusi DUN, Bersatu pula 16 kerusi, manakala Parti Rakyat India Malaysia (MIPP) yang juga komponen parti PN mempertaruhkan lima kerusi selain Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) yang baru menganggotai blok itu dengan satu kerusi.

Pada masa sama, BN turut berdepan ujian tersendiri apabila dua pemimpin UMNO mengumumkan keluar parti menjelang pilihan raya, iaitu bekas Speaker DUN Johor, Datuk Dr. Mohd Puad Zakashi dan penyandang DUN Layang-Layang, Abd. Mutalip Abd. Rahim membuat keputusan mengejutkan menyertai Bersatu sekali gus diumumkan sebagai calon parti itu bagi mempertahankan kerusinya.

Perkembangan itu berpotensi memberi kesan terhadap jentera dan sokongan akar umbi di kawasan tertentu, khususnya di DUN berkenaan yang merupakan kerusi majoriti pengundi Melayu sekitar 55 peratus.

Bagaimanapun, gabungan yang diterajui UMNO itu masih dilihat memiliki kelebihan sebagai penyandang kerajaan negeri selain mempunyai rangkaian jentera yang tersusun sehingga ke peringkat cawangan.

Lebih menarik, PRN Johor kali ini turut menyaksikan BN dan PH yang bekerjasama dalam Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan memilih untuk bergerak secara berasingan dalam usaha memperkukuh pengaruh masing-masing di negeri itu apabila meletakkan kesemua calon di 56 kerusi DUN.

Pendekatan tersebut dijangka mewarnai kempen sepanjang tempoh pilihan raya apabila kedua-dua gabungan perlu mencari keseimbangan antara mengekalkan hubungan dalam Kerajaan Pusat dan bersaing merebut sokongan pengundi di peringkat negeri.

Selain itu, kemunculan Parti Bersama sebagai pemain baharu turut dijangka menambah warna kepada persaingan, khususnya dalam usaha menarik sokongan pengundi muda dan mereka yang mahukan alternatif di luar blok politik tradisional.

Kenyataan pemimpin mereka, Datuk Seri Rafizi Ramli bahawa parti itu akan bertanding 15 kerusi DUN tidak dilihat sebagai hanya mahu menguji sokongan rakyat, sebaliknya satu pengumuman bahawa mereka serius menjadi pencabar, khususnya kepada PKR dan PH.

Antara nama besar yang bakal menghangatkan PRN kali ini ialah Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi; bekas Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba; bekas Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik; bekas Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Rashid Hasnon; bekas Menteri Besar Johor, Datuk Dr. Sahruddin Jamal dan bekas Speaker DUN Johor, Suhaizan Kaiat yang juga Ahli Parlimen Pulai.

Dengan pelbagai percaturan sedang digerakkan, penamaan calon hari ini bakal menjadi petunjuk awal kepada bentuk persaingan sebenar PRN Johor, sama ada menyaksikan pertembungan dua penjuru atau lebih banyak pertandingan pelbagai penjuru yang mampu mengubah landskap politik negeri itu.

PRN Johor bukan sekadar perebutan 56 kerusi DUN, sebaliknya medan mengukur kekuatan sebenar parti-parti politik selepas hampir empat tahun landskap politik negara dibentuk oleh Kerajaan Perpaduan.

Pembentukan Kerajaan Negeri Johor memerlukan  mana-mana parti atau gabungan politik memperoleh majoriti mudah sebanyak 29 kerusi daripada keseluruhan 56 kerusi DUN yang dipertandingkan.

Keputusan bakal ditentukan lebih 2,7 juta pemilih yang layak mengundi sekali gus menjadi asas dan kayu ukur kekuatan sebenar setiap parti politik bertanding sebelum berdepan cabaran lebih besar iaitu menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) yang boleh diadakan bila-bila masa dari sekarang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN