Restoran Betawi, Roemah Kebaya Vielga jalin kerjasama - Utusan Malaysia

Restoran Betawi, Roemah Kebaya Vielga jalin kerjasama

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEUNIKAN budaya sesebuah negara tidak hanya ditonjolkan melalui makanan, malah turut diterjemahkan menerusi busana tradisional.

Selaras prinsip itu, restoran sajian autentik Indonesia, Betawi Indonesian Cuisine menjalin kerjasama dengan jenama fesyen, Roemah Kebaya Vielga.

Inisiatif itu bertujuan memperkenalkan budaya serta warisan Indonesia kepada masyarakat Malaysia secara lebih dekat dan interaktif.

Pengurusnya, Siraj Al Munir berkata, kerjasama itu merupakan kesinambungan kepada usaha mereka dalam memelihara dan mempromosikan budaya Indonesia ke peringkat antarabangsa.

Dalam masa sama, inisiatif itu membantu mencipta pengalaman budaya yang lebih mendalam.

“Memelihara rasa klasik kekal menjadi keutamaan kami di Betawi.

“Kami mahu pelanggan merasai pengalaman yang lebih menyeluruh, bukan hanya melalui makanan, tetapi juga menerusi keindahan busana tradisional dan hasil seni pertukangan Indonesia,” katanya.

Majlis pemeteraian perjanjian antara kedua-dua pihak itu disaksikan Duta Besar Indonesia ke Malaysia, Mohammad Iman Hascarya Kusumo.

Sementara itu, Mohammad Iman Hascarya berkata, gastronomi merupakan antara bentuk ekonomi kreatif paling berkesan dalam mempromosikan identiti dan warisan sesebuah negara.

Justeru, pihaknya bersedia membuka ruang baharu bagi perkongsian perniagaan sekali gus memperkukuh hubungan antara rakyat Indonesia dan Malaysia.

“Masakan Indonesia mencerminkan kepelbagaian luar biasa kepulauan kami, dari Sabang hingga Merauke dan berfungsi sebagai jambatan semula jadi yang menghubungkan komuniti merentasi sempadan.

“Kami komited untuk terus menyokong inisiatif yang mempromosikan industri kreatif Indonesia kerana usaha seperti ini melengkapi agenda lebih luas untuk mengeratkan hubungan dua hala dan memperdalam ikatan antara masyarakat kedua-dua negara,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×