Chegubard didakwa, muat naik hantaran hasutan institusi diraja Negeri Sembilan

Chegubard didakwa, muat naik hantaran hasutan institusi diraja Negeri Sembilan

BADRUL Hisham Shaharin ketika hadir di Mahkamah Tinggi Seremban hari ini bagi berdepan pertuduhan membuat hantaran hasutan terhadap institusi diraja Negeri Sembilan menerusi akaun Facebook miliknya.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Aktivis politik, Badrul Hisham Shaharin atau lebih dikenali sebagai Chegubard, dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan memuat naik hantaran berunsur hasutan terhadap institusi diraja Negeri Sembilan menerusi akaun Facebook miliknya pada 26 Mei lalu.

Bagaimanapun, Chegubard, 48, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim, Datin Surita Budin.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa memuat naik kandungan berunsur hasutan menerusi akaun Facebook miliknya dengan kesalahan itu didakwa dilakukan pada pukul 8.30 malam di Jalan Besar Seri Menanti, Kuala Pilah pada 26 Mei lalu.

Sehubungan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 4(1)(c) Akta Hasutan 1948 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama yang boleh didenda sehingga RM5,000 atau dipenjarakan maksimum tiga tahun atau kedua-duanya.

Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Ahmad Sazali Omar menawarkan jaminan tidak kurang RM10,000 dengan alasan hantaran yang dimuat naik tertuduh menyentuh isu sensitif melibatkan institusi diraja Negeri Sembilan.

Beliau turut memohon mahkamah mengeluarkan perintah larangan bersuara atau gag order bagi menghalang tertuduh daripada membuat sebarang komen atau hantaran berkaitan isu yang sedang dibicarakan melibatkan institusi diraja negeri itu.

“Selain pertuduhan di mahkamah ini, terdapat beberapa komen dan hantaran lain yang dibuat tertuduh yang mempunyai kaitan dengan perkara sama.

“Pihak pendakwaan justeru memohon mahkamah menggunakan budi bicara untuk mengeluarkan perintah gag order sehingga kes ini selesai,” katanya.

Peguam, Muhammad Rafique Rashid Ali yang mewakili Chegubard pula memohon jumlah jaminan dikurangkan kepada RM2,500 dengan alasan jaminan bertujuan memastikan kehadiran tertuduh di mahkamah dan bukannya sebagai hukuman.

Menurutnya, Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 hanya memperuntukkan denda maksimum RM5,000 jika disabitkan kesalahan.

“Sekiranya jaminan ditetapkan RM10,000, jumlah itu adalah dua kali ganda lebih tinggi daripada hukuman denda maksimum yang diperuntukkan,” katanya.

Beliau turut membantah permohonan perintah gag order atas alasan ia boleh menjejaskan prinsip kebebasan bersuara.

“Sekiranya mahkamah mengeluarkan perintah gag order hari ini, ia seolah-olah mengesahkan pertuduhan terhadap tertuduh telah dibuktikan tanpa melalui proses perbicaraan.

“Selain itu, terdapat tiga kes hasutan membabitkan anak guam saya iaitu dua di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur dan satu di Mahkamah Sesyen Johor Bahru yang mana permohonan gag order turut ditolak,” katanya.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan melapor diri di balai polis berhampiran sekali setiap bulan sehingga kes selesai.

Mahkamah juga tidak membenarkan permohonan perintah gag order pada peringkat ini namun jika tertuduh didapati membuat hantaran serupa yang boleh menjejaskan keharmonian awam, pihak pendakwaan boleh mengemukakan semula permohonan tersebut beserta afidavit sokongan.

Mahkamah kemudian menetapkan tarikh 3 Ogos ini untuk sebutan semula kes dan serahan dokumen.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×