Majoriti Exco Johor pertahan kerusi

Majoriti Exco Johor pertahan kerusi

ONN Hafiz Ghazi (tengah) bergambar bersama 56 calon BN semasa Majlis Pengumuman Calon BN di Johor Bahru, Johor semalam. – UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Spekulasi Barisan Nasional (BN) akan mele­takkan beberapa calon tumpang daripada Pas dan Parti Wawasan Negara (Wawasan) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan datang, meleset.

Ini susulan pengumuman dibuat Pengerusi BN Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi yang menyaksikan tiada mana-mana calon daripada parti di luar kerjasama BN yang diumumkan akan bertanding.

Sejak beberapa hari lalu, wujud khabar angin bahawa BN akan mengadakan kerjasama politik dengan beberapa parti politik luar.

Ini termasuk dakwaan seramai empat calon daripada Wawasan yang dipimpin Presiden, Datuk Seri Hamzah Zainudin, serta seorang calon daripada Pas yang dipimpin Presiden, Tan Sri Abdul Hadi Awang.

Selain itu, pengumuman yang dibuat di Pejabat Perhubungan UMNO Negeri Johor semalam itu turut menafikan dakwaan bahawa penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Skudai, Marina Ibrahim bakal dibawa masuk sebagai calon khas BN.

Sebaliknya, majoriti Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (exco) Johor kekal bertanding mewakili BN pada PRN Johor dengan hari penamaan calon berlangsung Sabtu ini.

Hanya Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri, Khairin-Nisa Ismail yang bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Serom sebelum ini digugur daripada senarai calon.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Warisan dan Kebudayaan negeri, K. Raven Kumar pula bakal bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kemelah, bertukar dari DUN Tenggaroh.

Seramai sembilan Exco termasuk Onn Hafiz akan mempertahankan kerusi DUN yang disandang masing-masing selepas mendapat mandat daripada rakyat pada PRN Johor 2022 lalu.

Onn Hafiz mengumumkan beliau akan bertanding di kerusi DUN Machap; bekas Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar negeri, Datuk Zahari Sarip (Buloh Kasap) dan bekas Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur negeri, Mohamad Fazli Mohamad Salleh (Bukit Pasir).

Selain itu, bekas Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri, Mohd. Fared Mohd. Khalid kekal bertanding di kerusi DUN Semerah; bekas Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Ling Tian Soon (Yong Peng) dan bekas Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia negeri, Lee Ting Han turut bertanding di kerusi DUN yang disandang iaitu Paloh.

Bekas Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan negeri, Aznan Tamin bakal mempertahankan kerusi DUN Tanjung Surat; bekas Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Mohd. Jafni Md. Shukor pula kekal bertanding di kerusi DUN Bukit Permai dan bekas Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Mohd. Hairi Mad Shah (Larkin).-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×