KUALA LUMPUR: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) akan bertanding lebih banyak kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Ketua Pengarah Pilihan Raya PN, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, agihan kerusi melibatkan, Pas, Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) dan Parti Rakyat India Malaysia (MIPP) turut selesai secara baik dan harmoni.
Bagaimanapun, beliau tidak memperincikan jumlah keseluruhan kerusi yang akan ditandingi PN.
“Semua calon daripada parti-parti komponen juga akan bertanding menggunakan nama dan logo PN pada PRN Johor kali ini,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat agihan kerusi PN di Pejabat Agung Pas di sini semalam.
Mengulas proses agihan kerusi, Muhammad Sanusi berkata, setiap cadangan yang dikemukakan parti komponen dinilai berdasarkan beberapa faktor termasuk kekuatan jentera, jumlah pengundi, pengalaman, status penyandang serta rekod pernah bertanding.
“Paling banyak (kerusi) Bersatu. Senarai yang dibawa itu berdasarkan keyakinan masing-masing. Jadi kita tengok, kita timbang pemberatnya.
“Itu semua pemberat-pemberat yang menentukan siapa (calon) yang patut dipertimbangkan (bertanding) di situ. Sudah selesai bab itu,” katanya.
Mesyuarat dipengerusikan beliau itu turut dihadiri Pengerusi PN, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar; Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dan Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, Tan Sri Annuar Musa.
Turut hadir, Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Datuk Dr. Dominic Lau, Hoe Chai; Presiden Parti Rakyat India Malaysia (MIPP), P. Punithan dan Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.
Sementara itu, Muhammad Sanusi berkata, kemasukan Parti Wawasan Negara diterajui Datuk Seri Hamzah Zainudin ke dalam PN telah diselesaikan dalam mesyuarat gabungan itu dan tidak seharusnya dibangkitkan kepada umum.
Beliau berkata, isu tersebut telah diselesaikan dalam mesyuarat dan bantahan selepas keputusan dibuat tidak selaras dengan amalan dalam PN.
“Perkara itu sudah selesai. Saya sudah katakan kelmarin bahawa ia telah diselesaikan dan mesyuarat berjalan dengan baik.
“Sebarang bantahan selepas itu bukanlah cara kita. Bila kita bermesyuarat, kita bawa agenda dan hasrat kita, bukan semua mesti dipersetujui.
“Itulah namanya mesyuarat. Kalau semua agenda kita dipersetujui, tak payahlah mesyuarat. Bila bermesyuarat, ada yang kita cadang, orang tak terima,” katanya.
Menurut Sanusi, sebarang keputusan yang dibuat oleh PN adalah berasaskan konsep syura iaitu prinsip perundingan dalam Islam.-UTUSAN.










