LIPIS: Siapa sangka durian gred premium Musang King yang dilabel sebagai ‘buah kayangan’ kini boleh dinikmati oleh semua golongan apabila harganya jatuh merudum sehingga RM5 sebiji di bandar Kuala Lipis, di sini.
Kejatuhan harga itu berlaku ekoran lambakan raja buah tersebut di pasaran tempatan selain persaingan sengit, sekali gus memaksa peniaga menukar strategi pemasaran demi memastikan buah tidak membazir.
Pemilik kedai Durian Kingdom dikenali sebagai Ah Chin, 40, berkata, dia mengambil pendekatan proaktif dengan menjual durian mengikut bilangan biji, berbanding kaedah timbangan kilogram (kg) yang biasa digunakan sebelum ini.
“Saya tidak mementingkan keuntungan semata-mata. Kali ini, fokus saya adalah sifat prihatin untuk membantu pelanggan yang kurang mampu supaya mereka juga dapat menikmati kelazatan Musang King.
“Sebelum ini, ramai yang sekadar memandang dan terpaksa melupakan hasrat kerana harganya yang mahal, lalu beralih kepada durian kampung. Tetapi sekarang tidak lagi,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di bandar Kuala Lipis.
Menurut Ah Chin, melalui kaedah baharu itu, pelanggan bebas memilih baka Musang King kegemaran mereka pada harga rata RM5 sebiji.
Bagaimanapun, katanya, bagi saiz buah yang lebih besar, ia dijual pada harga antara RM8 hingga RM10 sebiji manakala gred premium (Gred A) pula kekal pada harga RM50 sekilo.
Katanya, bekalan durian Musang King yang diperoleh dari kebun miliknya sendiri di Tanjung Lipis yang menjadi pada musim ini, dengan anggaran hasil antara dua hingga tiga tan metrik sehari.
Sementara itu, senario sama turut dikongsi oleh seorang pekebun dari Kampung Rengai di sini, Waikin Chin, yang memilih menjual buah kayangan tersebut pada kadar RM5 hingga RM10 sebiji mengikut saiz.
Ujarnya, faktor lambakan buah yang terlalu lebat di seluruh daerah Lipis dan kawasan sekitar menjadi punca utama harga pasaran bertukar menjadi ‘mampu milik’.
“Pelanggan nampak sangat gembira. Sistem jualan tanpa timbang ini memudahkan mereka mengira bajet mengikut kemampuan poket masing-masing. Walaupun untung nipis, saya tidak kisah.
Apa yang penting ialah nilai kebajikan, dapat melihat mereka yang tidak pernah merasa Musang King sebelum ini, pulang dengan senyuman,” katanya. – UTUSAN










