SYDNEY: Saintis mengesan strain selesema burung H5 yang sangat mudah berjangkit di sebuah lagi negeri di Australia, menurut Menteri Pertanian, Julie Collins.
Negara itu selama bertahun-tahun merupakan satu-satunya daratan benua yang bebas daripada strain H5, yang menyebabkan penyakit teruk dan kadar kematian tinggi dalam ayam ternakan serta burung liar di seluruh dunia.
Kes H5 pertama disahkan di negeri Australia Barat minggu lalu, dan kini pihak berkuasa memberi amaran mengenai satu lagi kes yang dikesan pada seekor burung laut di Australia Selatan, ratusan kilometer dari lokasi pertama.
“Ini sememangnya membimbangkan, tetapi memandangkan penyebaran H5 di peringkat global, tidak mengejutkan burung laut yang berhijrah mungkin tiba di lokasi lain di sepanjang pantai Australia.
“Setakat ini tiada bukti kematian besar-besaran. Tiada juga bukti jangkitan dalam ternakan atau sistem pengeluaran pertanian kita. Risiko kepada kesihatan manusia masih rendah,” kata Collins kepada media.
Pengesahan penyebaran H5 berpotensi menyebabkan gangguan yang ketara.
Satu daripada pengeluar ayam ternakan terbesar di negara itu melaksanakan sekatan pergerakan di ladang-ladang di Australia Barat dalam usaha untuk kekal bebas daripada penyakit.
Papua New Guinea yang berjiran turut menggantung sementara import telur dan daging ayam dari Australia, namun langkah itu telah ditarik balik dengan beberapa pengecualian.- AFP










