Letupan kilang gas Qatar ragut 13 nyawa - Utusan Malaysia

Letupan kilang gas Qatar ragut 13 nyawa

LETUPAN besar berlaku di zon industri Ras Laffan. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DOHA: Satu letupan besar di sebuah hab gas di Qatar mengorbankan 13 orang dan mencederakan 66 yang lain, menurut kenyataan Menteri Tenaga negara tersebut pada Isnin sekali gus meletakkannya sebagai antara kemalangan yang meragut nyawa paling ramai dalam sejarah kemudahan tenaga di rantau Teluk.

Menurut Saad al-Kaabi, pihak berkuasa kini sedang menyiasat punca letupan yang disifatkannya sebagai satu kemalangan dan bukan tindakan sabotaj atau bersifat permusuhan meskipun terdapat serangan terdahulu oleh Iran apabila menyasarkan kemudahan tenaga di Teluk semasa perang Asia Barat.

Beliau mengumumkan bahawa kehilangan tragis 13 nyawa tersebut membabitkan warga kerja warganegara India dan Pakistan. Seramai 66 orang dilaporkan cedera dan sedang menerima rawatan perubatan, namun tiada seorang pun daripada mereka berada dalam keadaan kritikal.

Kementerian Dalam Negeri sebelum ini menyatakan bahawa insiden teknikal telah mencetuskan letupan itu pada Ahad di zon perindustrian Ras Laffan, sebuah wilayah emiriah Teluk.

Letupan berkenaan berlaku di sebuah unit yang membekalkan gas kepada syarikat tempatan, malah impak gegarannya turut dirasai sehingga ke ibu negara, Doha.

“Insiden ini tidak akan menjejaskan apa-apa berkaitan eksport kita. Ia juga tidak akan menjejaskan keperluan tempatan kita,” kata Saad sambil menambah bahawa letupan tersebut tidak memberikan sebarang kesan terhadap alam sekitar.

Ketika kejadian, wartawan AFP di ibu negara Qatar mendengar bunyi letupan kuat dari kawasan pantai utara negara itu, yang terletak sejauh 64 kilometer (km). Seorang lagi wartawan yang berada sejauh 20km dari lokasi kejadian melihat api marak berwarna jingga terang dan kepulan asap tebal menjulang dari kawasan tersebut yang juga hab gas asli cecair (LNG) terbesar di dunia.

Syarikat tenaga milik kerajaan Qatar memaklumkan bahawa letupan itu berlaku ketika fasa permulaan operasi di Bandar Perindustrian Ras Laffan, yang kemudiannya mengakibatkan letupan dan kebakaran di kemudahan bekalan gas tempatan Barzan.

Pada lewat Ahad, QatarEnergy menyatakan bahawa kebakaran tersebut berjaya dikawal selepas pasukan tindak balas kecemasan dikerahkan ke lokasi kejadian.

Ras Laffan sebelum ini dilaporkan telah mengalami kerosakan teruk dalam perang antara AS dan Iran yang bermula 28 Februari, selepas serangan Iran menyasarkan infrastruktur tenaga di Teluk sehingga memaksa Qatar menghentikan pengeluaran gasnya.

Kemalangan maut ini berlaku ketika negara-negara Teluk yang kaya dengan hasil hidrokarbon sedang berdepan cabaran besar untuk meningkatkan pengeluaran mereka ekoran siri serangan Iran serta penutupan Selat Hormuz yang merupakan laluan air penting bagi eksport minyak dan gas global.- AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN