Harga rumah di Melaka kekal paling rendah di Malaysia

Harga rumah di Melaka kekal paling rendah di Malaysia

AB. Rauf Yusoh menyerahkan replika kunci rumah PMR kepada seorang penerima pada Majlis Perhimpunan Bulanan Pentadbiran Kerajaan Negeri Melaka di Ayer Keroh semalam. – UTUSAN/AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Melaka mengekalkan kedudukannya sebagai negeri dengan harga jualan rumah pa­ling rendah di negara ini sekali gus menjadi antara negeri terbaik daripada segi kemampuan pemilikan rumah untuk rakyat.

Ketua Menteri, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh berkata, pencapaian itu berdasarkan Laporan Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC) bagi suku pertama tahun ini yang menunjukkan harga rumah di Melaka kekal dalam lingkungan mampu milik.

Menurutnya kejayaan tersebut adalah hasil peranan aktif Lembaga Perumahan Melaka (LPM) dalam menyelaras dan memudah cara pelaksanaan dasar perumahan kerajaan ne­geri sejak beberapa tahun lalu.

“Sejak tahun 2018, melalui dasar Rumah Mampu Milik (RMM), LPM telah menyelaras dan memudah cara penyediaan sebanyak 61,935 unit kediaman untuk rakyat di negeri ini.

“Apa yang lebih membanggakan, harga jualan rumah di Me­laka adalah yang paling rendah di Malaysia berdasarkan laporan NAPIC bagi suku pertama tahun 2026,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa Majlis Perhimpunan Bulanan Pentadbiran Kerajaan Negeri Melaka bagi Jun 2026 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh, di sini semalam.

Ab. Rauf berkata, kadar kemampuan perumahan di Me­laka juga antara yang terbaik di negara ini dengan nisbah kemampuan sekitar 3.27 berban­ding purata nasional 4.39.

Menurutnya, keadaan itu turut menyumbang kepada kadar pemilikan rumah yang tinggi dalam kalangan rakyat Melaka iaitu sebanyak 85.6 peratus berbanding kadar nasional 78 peratus.

“Keistimewaan yang dimiliki Melaka ini bukan sahaja memberi manfaat kepada rakyat tempatan malah turut membantu penjawat awam negeri dan Persekutuan yang berkhidmat di Melaka kerana kos pemilikan dan sewaan rumah lebih rendah berbanding kebanyakan negeri lain,” katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, Skim Sewaan Untuk Dimiliki (Rent-To-Own) yang dilaksanakan kerajaan negeri berjaya membantu lebih 1,100 individu memiliki kediaman sendiri di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Krubong dan PPR Tehel.

Katanya, skim tersebut akan diperluaskan ke PPR Klebang, PPR Tangga Batu dan PPR Bukit Katil bagi memberi peluang kepada lebih ramai rakyat memiliki rumah sendiri.

Sementara itu, Ab. Rauf berkata, kerajaan negeri menerusi Program Melaka Rumahku (PMR) akan menyerahkan bantuan pembinaan rumah baharu kepada lima penerima melibatkan peruntukan keseluruhan sebanyak RM350,000.

“Saya berharap inisiatif ini menjadi titik permulaan kepada kehidupan yang lebih baik dan memberi sinar harapan kepada penerima serta keluarga mereka,” katanya.

Beliau menegaskan, kerajaan negeri komited memastikan lebih ramai rakyat memiliki kediaman sendiri selaras dengan misi LPM iaitu ‘Satu Keluarga Sebuah Rumah’.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×