TASEK GELUGOR : Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan. Itu yang dibuktikan oleh seorang pelajar cemerlang lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Auni Batrisyia A. Rahman Siyutti, 18, ketika dia membuat keputusan untuk menyambung pengajiannya ke peringkat lebih tinggi beberapa bulan yang lalu.
Menyedari bahawa dia tidak mempunyai sumber kewangan yang kukuh seperti pelajar lain, Auni Batrisyia gigih mengumpul wangnya sendiri termasuk bekerja sambilan tanpa menyusahkan sesiapa semata-mata mahu mengejar impiannya untuk terus belajar dan menjadi seorang jurutera.
Berkat kegigihan serta kesungguhan anak bongsu daripada enam beradik itu, dia kemudian ditawarkan mengikuti pengajian dalam bidang Diploma Teknologi Kejuruteraan Elektrik (Domestik dan Industri) di TVETMara Seberang Perai Utara (SPU) di sini.
Tawaran itu dikemukakan sendiri oleh Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki selepas kisah Auni Batrisyia yang juga seorang anak yatim piatu datang untuk mendapatkan bantuan komputer riba di sebuah Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) dengan menaiki motosikal tular di media sosial.
Menurut Auni Batrisyia yang tinggal di Pengkalan Hulu, Perak, dia tidak menyangka kisahnya mendapat perhatian daripada Asyraf Wajdi sehingga turut ditawarkan untuk menjadi anak angkat kepada pemimpin tersebut.
“Terima kasih Datuk (Asyraf Wajdi) dan terima kasih juga kepada pihak Mara kerana sudi membantu saya. Insya-Allah, saya akan belajar bersungguh-sungguh dan cuba mengubah nasib keluarga saya ketika ini.
“Sejak ibu dan ayah tiada, abang-abang sayalah yang paling banyak membantu saya sedangkan mereka sendiri telah berkeluarga dan kadang-kadang tak cukup makan juga.
“Jadi, saya mahu membuktikan bahawa kemiskinan itu bukan satu penghalang untuk berjaya, insya-Allah,” katanya ketika ditemui semasa Minggu Haluan Siswa TVETMara SPU di sini, hari ini. Hadir menemani pelajar tersebut ialah dua orang abangnya iaitu Mohd. Zuhri, 36, dan Mohamad Zikri, 32.
Sementara itu, Pengarah TVETMara SPU, Rahim Selamat berkata, Auni Batrisyia merupakan antara lebih 100 pelajar yang hadir mendaftarkan diri bagi mengikuti pengajian di situ dalam beberapa kursus yang ditawarkan.
Katanya, selain Diploma Teknologi Kejuruteraan Elektrik (Domestik dan Industri), kursus lain ditawarkan ialah Diploma Teknologi Kejuruteraan Elektrik (Kuasa), Diploma Kompetensi Elektrik (Pengagihan) serta Diploma Kompetensi Elektrik (Penjanaan).
Mengulas mengenai keperluan Auni Batrisyia sepanjang mengikuti pengajian di situ pula, Rahim berkata, pihaknya akan cuba berhubung dengan Yayasan Sultan Azlan Shah untuk mendapatkan biasiswa memandangkan pelajar tersebut merupakan anak jati Perak selain memantau keperluan semasa pelajar berkenaan semasa berada di TVETMara SPU.
“Insya-Allah, pihak kami akan membantu semua pelajar yang menghadapi masalah tanpa mengira latar belakang mereka demi memastikan agar mereka selesa belajar di sini,” katanya.-UTUSAN











