Bekas menteri kehakiman Korea Selatan dipenjara 25 tahun

Bekas menteri kehakiman Korea Selatan dipenjara 25 tahun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEOUL: Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 25 tahun terhadap bekas Menteri Kehakiman Korea Selatan, Park Sung-jae atas peranannya dalam pelaksanaan singkat undang-undang tentera di negara itu dua tahun lalu.

Sung-jae didapati bersalah kerana terlibat dalam pemberontakan, lapor agensi berita Yonhap dari Mahkamah Daerah Pusat Seoul.

Pengisytiharan undang-undang tentera tersebut oleh bekas presiden, Yoon Suk-yeol pada Disember 2024 hanya bertahan kira-kira enam jam apabila anggota Parlimen bergegas ke bangunan Dewan Negara dan mengundi untuk membatalkannya dalam sidang tergempar.

Suk-yeol kemudiannya disabitkan bersalah kerana mengetuai pemberontakan dan kini ditahan sementara menunggu rayuan terhadap hukuman penjara seumur hidup yang dikenakan ke atasnya.

Awal bulan ini, Suk-yeol turut dijatuhi hukuman penjara 30 tahun kerana menghantar dron ke Korea Utara bagi mencetuskan krisis nasional sebagai alasan untuk melaksanakan undang-undang tentera.

Menurut pihak pendakwaan, Sung-jae mengadakan mesyuarat dengan pegawai Kementerian Kehakiman pada awal pagi ketika undang-undang tentera dikuatkuasakan dan meneliti kapasiti penjara sekiranya pihak berkuasa menahan tokoh yang menentang kerajaan.

“Sebagai menteri kehakiman ketika itu, beliau mengarahkan kerjasama dengan pemerintah undang-undang tentera berdasarkan andaian bahawa dekri tersebut akan berkuat kuasa,” menurut petikan penghakiman yang dilaporkan Yonhap.

Pendakwa raya sebelum ini menuntut hukuman penjara 20 tahun terhadap Sung-jae dengan alasan beliau telah menjadikan undang-undang sebagai alat pemberontakan melalui penyalahgunaan kuasa dan mencabar kedaulatan undang-undang.

Mereka turut berhujah, Sung-jae tidak menunjukkan sebarang penyesalan atas tindakannya.

Ucapan Suk-yeol yang disiarkan secara langsung kepada negara lewat malam ketika mengumumkan undang-undang tentera telah mencetuskan krisis politik yang belum pernah berlaku di Korea Selatan.

Tindakan itu mencetuskan protes besar-besaran, menjunamkan pasaran saham serta mengejutkan sekutu utama negara itu termasuk Amerika Syarikat (AS).

Beberapa pegawai kanan yang merupakan sekutu rapat Suk-yeol turut menerima hukuman berat.

Bekas perdana menteri, Han Duck-soo, yang pernah mempertimbangkan untuk bertanding jawatan presiden, kini menjalani hukuman penjara 15 tahun, manakala bekas menteri dalam negeri, Lee Sang-min, dipenjarakan selama sembilan tahun.

Minggu lalu, bekas menteri pertahanan pula dijatuhi hukuman penjara tiga tahun kerana membocorkan maklumat sulit ketenteraan bagi membantu pelaksanaan pemberontakan tersebut.

Isteri Suk-yeol, Kim Keon-hee kini menjalani hukuman penjara empat tahun atas kesalahan manipulasi saham dan rasuah yang tidak berkaitan dengan krisis undang-undang tentera itu.-AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×