PARIS: Gelombang haba melampau yang kini melanda seluruh Eropah telah memaksa Perancis menguatkuasakan larangan pengambilan alkohol, selain mencetuskan amaran cuaca di Jerman serta menyaksikan pelancong bermandikan peluh di bawah kehangatan cahaya matahari di Itali.
Pada Sabtu, Perdana Menteri Perancis, Sebastien Lecornu mengadakan mesyuarat krisis bersama 14 menterinya berikutan peningkatan suhu mendadak ketika amaran haba tahap jingga diaktifkan di 60 wilayah di negara itu.
Agensi cuaca kebangsaan Perancis, Meteo France memberi amaran bahawa keadaan cuaca yang semakin meruncing itu dijangka berterusan sehingga minggu ini. Agensi itu turut menyifatkan keadaan haba kali ini menyamai gelombang haba pada tahun 2019 yang menyaksikan suhu melonjak melebihi 45 darjah Celsius.
“Suhu sekitar 39 hingga 40 darjah Celsius diramal melanda dari barat daya Perancis, merentasi Paris hingga ke Burgundy, dengan beberapa kawasan berkemungkinan mencecah suhu ‘membakar’ pada 41 darjah Celsius,” menurut ahli kaji cuaca.
Suhu berkenaan dijangka mencapai kemuncak pada Isnin ini yang berpotensi mencatatkan rekod tertinggi baharu.
Susulan mesyuarat tersebut, perdana menteri Perancis, mengambil langkah awal dengan mengharamkan penjualan dan pengambilan alkohol pada festival tahunan Fete de la Musique serta acara awam lain di 35 wilayah pada Ahad.
Bagaimanapun, pihak berkuasa di Paris mengarahkan taman-taman awam untuk terus dibuka sepanjang hari.
Sementara itu di Jerman, keadaan serupa turut dilaporkan oleh Perkhidmatan Cuaca Rasmi Jerman (DWD).
Amaran haba di seluruh negara telah dikeluarkan selepas suhu direkodkan menghampiri 38 darjah Celsius di beberapa kawasan. Pihak DWD turut memberi amaran bahawa kombinasi peningkatan suhu dan kelembapan tinggi boleh mencetuskan ribut petir yang buruk di seluruh negara.
Sementara itu di Itali, suhu yang mencecah 36 hingga 37 darjah Celsius menyebabkan pelancong dan penduduk tempatan di bandar-bandar utama negara itu ‘berpeluh’ di bawah terikan cahaya matahari. – AGENSI











