Delegasi Iran-AS tiba untuk rundingan damai - Utusan Malaysia

Delegasi Iran-AS tiba untuk rundingan damai

BANGUNAN kompleks hotel mewah Burgenstock yang menghadap Tasik Lucerne di Switzerland menjadi lokasi rundingan peringkat tinggi bagi menamatkan konflik di Asia Barat.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GENEVA: Delegasi Iran dan AS tiba di Geneva, Switzerland untuk berbincang dalam rundi­ngan baharu konflik Asia Barat pada  Ahad.

Perunding Iran dan Naib Presiden Amerika Syarikat (AS), JD Vance tiba di bandar tuan rumah di Switzerland, meskipun Teheran mengumumkan penutupan semula Selat Hormuz susulan serangan Israel di Lubnan kelmarin.

Sebelum menaiki pesawat ke Eropah, Vance berkata, beliau berharap dapat mencapai kemajuan dalam isu nuklear dan isu gencatan senjata di Lubnan, dua perkara yang akan menjadi fokus utama rundingan.

Perunding AS, Jared Kushner iaitu menantu Presiden AS, Donald Trump dan Utusan Amerika ke Asia Barat, Steve Witkoff sudah berada di sana bagi mengendalikan beberapa aspek teknikal.

Menurut Vance, mereka melaporkan perkembangan berjalan dengan baik dalam temu bual bersama Fox News pada Sabtu.

Delegasi Iran tiba di Switzerland lewat Sabtu. Penyiar rasmi Iran melaporkan negara itu diwakili oleh delegasi yang turut disertai Speaker Parlimen, Mohammad Bagher Ghalibaf dan Menteri Luar, Abbas Araghchi.

Jurucakap Kementerian Luar Iran, Esmaeil Baqaei berkata, delegasi itu akan menuntut pelaksanaan komitmen pihak satu lagi dalam perjanjian tersebut.

“Jika tidak, keseluruhan persefahaman ini akan menghadapi masalah,” katanya se­perti dipetik agensi berita rasmi IRNA.

Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif dan ketua tentera negara itu, Jeneral Asim Munir turut tiba di Switzerland pada Ahad untuk mengadakan rundingan mengenai perang di Asia Barat kerana negara tersebut membantu usaha pengantaran.

Rundingan itu bertujuan membuka tempoh perundingan selama dua bulan bagi menyelesaikan isu yang masih belum dipersetujui dalam perjanjian awal. Iran berkata pada Ahad bahawa ia tidak boleh memasuki rundingan perjanjian akhir dengan AS selagi perang di Lubnan belum dihentikan.

“Rejim Zionis terus melanggar komitmennya di Lubnan, isu ini akan menjadi topik utama perbincangan dalam rundingan hari ini, (Ahad). 

“Tanpa pelaksanaan peruntukan khususnya perenggan 1 (penamatan perang di semua medan, termasuk Lubnan), kemasukan ke fasa rundingan bagi perjanjian muktamad adalah tidak mungkin,” kata Baqaei dalam satu video yang dikongsi oleh agensi berita rasmi IRNA.

Sebelum ini Iran berkata, pihaknya menandatangani perjanjian dengan AS untuk menamatkan beberapa bulan permusuhan yang bermula pada 28 Februari selepas serangan Amerika-Israel ke atas Teheran. 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×