Kru kapal MV Berkat Tuah bakal terima bantuan RM10,000

Kru kapal MV Berkat Tuah bakal terima bantuan RM10,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Satu bantuan kewangan sebanyak RM10,000 akan disalurkan kepada setiap kru kapal MV Berkat Tuah yang masih berada di atas kapal dalam tempoh minggu hadapan.

Kru kapal Mark Martin, 39, berkata, perkara itu dimaklumkan selepas satu mesyuarat melibatkan kru kapal MV Berkat Tuah, Jabatan Laut dan Kesatuan Kebangsaan Pelaut-Pelaut Semenanjung Malaysia (NUSPM), yang diadakan dua hari lalu.

Katanya, pada mesyuarat itu, pihak Kumpulan Wang Pusat Pedagangan Laut (KWPPL) memaklumkan bantuan RM10,000 akan disalurkan kepada setiap kru yang masih berada di atas kapal berkenaan.

“Selain itu, pihak International Transport Workers’ Federation (ITF) turut akan menyalurkan sumbangan sebanyak AS$1,000 kepada kru terbabit.

“Sumbangan berkenaan difahamkan masih dalam proses dan belum disalurkan sepenuhnya kepada kru kapal terbabit setakat ini oleh pihak berkaitan lagi,” katanya kepada Mingguan Malaysia.

Tambah Mark, mereka berharap agar bantuan kewangan yang dinyatakan tersebut dapat diproses segera oleh pihak berkaitan dalam masa terdekat.

Katanya, ini kerana kru yang berada di atas kapal ketika ini sedang berdepan tekanan kewangan yang semakin membebankan akibat situasi yang dialami.

“Keadaan itu menyebabkan mereka amat mengharapkan agar bantuan yang dijanjikan dapat disalurkan tanpa sebarang kelewatan lagi,” katanya.

Sebelum ini, Mingguan Malaysia melaporkan nasib anak kapal MV Berkat Tuah yang terkandas di Pelabuhan Hamriya, Dubai belum menemukan titik noktah apabila sebahagian daripada mereka masih menunggu pembayaran gaji tertunggak selain kepastian berhubung status kepulangan ke tanah air.

Bekas kru kapal itu, Muhammad Kamal Idzhamuddin Kamal Ariffin berkata, sehingga kini dia belum menerima baki gaji tertunggak selama empat bulan manakala beberapa rakannya yang masih berada di atas kapal dipercayai mempunyai tunggakan lebih lama. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×