PATTANI (THAILAND): Biro Eksais Wilayah Pattani merampas hampir 96,000 paket kopi segera popular dan ribuan botol minuman ringan dari Malaysia bernilai lebih RM62,769 dalam serbuan ke atas sebuah gudang simpanan di Daerah Mueang, di sini, Rabu lalu.
Pegawai Eksais Kawasan Pattani, Kaveesak Koonkham berkata, serbuan dijalankan selepas pihaknya menerima maklumat mengenai kegiatan pengedaran pelbagai jenis barangan tidak bercukai di sekitar bandar Pattani.
Katanya, pemeriksaan yang diketuainya di sebuah gudang simpanan di Jalan Ram Komut, Mukim Bana, kira-kira pukul 10.15 pagi menemukan sejumlah besar kopi segera dan minuman ringan dari Malaysia yang disyaki tidak melalui prosedur percukaian ditetapkan.
“Kami menerima maklumat bahawa gudang itu menjadi pusat penyimpanan dan pengedaran utama barangan tidak bercukai.
“Ketika serbuan, pemilik gudang berkenaan gagal menunjukkan resit bayaran cukai bagi kopi segera jenama terkenal dan minuman ringan yang disimpan di premis tersebut,” katanya ketika dihubungi.
Kaveesak berkata, antara barangan yang dirampas adalah 95,760 paket kopi segera dan 6,972 botol minuman ringan dengan nilai keseluruhan melebihi RM62,769.
Katanya, operasi berkenaan dilaksanakan selaras dengan usaha pihak berkuasa Thailand untuk memintas serta membanteras pengedaran barangan import yang tidak membayar cukai. – UTUSAN











