STPM: Anak ibu tunggal mahu ubah nasib keluarga

STPM: Anak ibu tunggal mahu ubah nasib keluarga

IRFAN Nazmi Ahmad Fakharuddin bersama Robiah Wahab (dua dari kanan) dan dua orang adiknya menunjukkan slip keputusan PNGK 4.0 peperiksaan STPM di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dong di Raub, Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RAUB: Seorang pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dong memberi hadiah paling berharga buat ibunya apabila memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 4.0 dalam peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2025.

Irfan Nazmi Ahmad Fakharuddin, 20, berkata, kejayaan itu cukup bermakna khusus bagi ibunya, Robiah Wahab, 43, yang bekerja sebagai pengawal keselamatan dan membesarkan enam anak sebagai ketua keluarga selepas bapanya me­ninggal dunia akibat kemala­ngan jalan raya, 12 tahun lalu.

Katanya, kejayaan dalam pe­periksaan itu turut mengubat perasaan kecewanya apabila memperoleh keputusan 8A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dua tahun lalu memandang­kan sasarannya adalah 10A.

“Pencapaian 8A dalam peperiksaan SPM masih tidak dapat membalas pengorbanan ibu yang banyak menggunakan hasil gaji sebagai pengawal keselamatan di SMK Sega, Raub untuk menampung perbelanjaan keluarga.

“Sebab itu saya menolak tawa­ran mengikuti program asasi di sebuah institut pengajian tinggi awam (IPTA) dan meme­nuhi cadangan ibu menyambung pe­ngajian di peringkat STPM de­ngan menanam cita-cita untuk menjadi seorang guru,” katanya ketika ditemui Mingguan Malaysia di Kampung Kuala Atok, di sini.

Anak ketiga daripada enam beradik itu berkata, ibunya adalah pembakar semangat dengan ke­rap memberi nasihat supaya belajar bersungguh sepanjang tempoh pengajian di tingkatan enam selain membiayai persekolahan termasuk adik-beradik lain.

“Saya bersyukur berkat ke­sungguhan dan ingat pesan ibu, akhirnya memperoleh keputusan PNGK 4.0 dalam peperiksaan STPM 2025 dan inilah ha­diah sebenarnya buatnya (ibu),” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×