KUALA LUMPUR: Hubungan Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam Perikatan Nasional (PN) kini ibarat pasangan suami isteri bercerai tetapi masih duduk serumah setelah kerjasama politik kedua-dua parti itu tamat serta-merta.
Perkembangan ini menimbulkan persoalan dalam kalangan parti komponen PN seperti Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) dan Parti Rakyat India Malaysia (MIPP) mengenai hala tuju gabungan itu selepas berlaku perubahan kuasa antara Pas dan Bersatu.
Meskipun wujud pandangan berbeza mengenai lambang yang perlu digunakan sepanjang kempen, namun kedua-dua parti masih berkongsi matlamat politik sama iaitu mempertahankan kerjasama dalam PN dan memperkukuhkan kedudukan menjelang pilihan raya negeri (PRN).
Presiden MIPP, P. Punithan berkata, kesepakatan masih boleh dicapai menerusi perbincangan walaupun Pas dan Bersatu dilihat sudah ‘bercerai’ dalam konteks kerjasama politik.
Menurut beliau, kedua-dua parti tidak seharusnya terus memberi tumpuan kepada perbezaan yang wujud sehingga menjejaskan hubungan dalam gabungan.
Sebaliknya kata beliau, Pas dan Bersatu perlu berusaha mencari titik persamaan yang boleh menjadi asas kepada kerjasama demi kepentingan bersama.
“Kesepakatan masih boleh dicapai sekiranya kedua-dua pihak benar-benar bertekad untuk mencari titik persamaan yang boleh menyatukan mereka.
“Boleh dibincang kalau dua-dua (Pas dan Bersatu) tekad mencari titik persamaan daripada terus mencari titik perbezaan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Sebelum ini, Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, Bersatu masih sah sebagai anggota parti PN meskipun parti itu sudah memutuskan kerjasama dengan Pas.
Krisis Pas dan Bersatu bermula selepas penyingkiran kumpulan Datuk Seri Hamzah Zainudin daripada Bersatu, kemudian Pas mengambil tindakan untuk ‘bercerai’ dengan parti berkenaan.
Perkara itu disusuli dengan beberapa siri perkembangan lanjut sehingga membuat penstrukturan semula dalam PN sewaktu mesyuarat jawatankuasa Pas Pusat dan persoalan parti akan menggunakan logo PN.
Dalam pada itu, Pengerusi Parti Bersepakat Hak Rakyat Malaysia (Urimai), Prof. Dr. P. Ramasamy berkata, PN mampu memberikan cabaran sengit membentuk kerajaan Persekutuan seandainya gabungan itu kekal bersatu.
Katanya, namun kepimpinan Pas didakwa menjadi punca perpecahan dalam blok pembangkang sehingga menjejaskan peluang PN untuk menawan Putrajaya.
Katanya, tindakan memutuskan hubungan dengan Bersatu, pelantikan Hamzah sebagai Ketua Pembangkang dan penyingkiran pemimpin Bersatu daripada jawatan dalam PN telah memberi kesan kepada kesatuan gabungan pembangkang.
“Malangnya, Pas dengan segala retorik politiknya gagal memahami hakikat politik yang amat penting untuk mencapai kemenangan pilihan raya.
“Akibat pemutusan hubungan dengan Bersatu, adalah diragui sama ada pembangkang yang diterajui Pas mampu memberikan impak yang signifikan dalam politik nasional,” katanya.-UTUSAN










