Australia setuju bayar pampasan kepada pencari suaka ditahan di kem gurun

Australia setuju bayar pampasan kepada pencari suaka ditahan di kem gurun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SYDNEY: Australia bersetuju membayar pampasan sebanyak 28 juta dolar Australia (RM81.27 juta) kepada puluhan pencari suaka yang ditahan di sebuah pusat tahanan imigresen terpencil kira-kira dua dekad lalu di bawah pentadbiran kerajaan konservatif yang ketika itu berusaha menghalang ketibaan pendatang melalui laut.

Pusat tahanan Woomera dibuka di kawasan gurun selatan Australia pada 1999. Dalam tempoh enam bulan, pusat itu menempatkan hampir 1,500 orang, kebanyakannya dari Iraq dan Afghanistan, dengan satu pertiga daripada tahanan terdiri daripada kanak-kanak.

Kewujudan pusat itu mengundang kecaman kumpulan hak asasi manusia terhadap dasar keras Australia terhadap pencari suaka, apabila tahanan yang membantah bertindak menjahit bibir mereka ketika mogok lapar dan cuba melarikan diri secara beramai-ramai. Pusat tahanan itu ditutup pada 2003.

Minggu lalu, Mahkamah Tinggi Australia memutuskan kerajaan tidak kebal daripada tuntutan pampasan berkaitan penahanan imigresen yang didapati menyalahi undang-undang.

Firma guaman Shine Lawyers berkata, kerajaan Australia bersetuju menyelesaikan saman tindakan kelas yang difailkan oleh 38 bekas tahanan yang mendakwa mengalami kemudaratan serius ketika ditahan di pusat tahanan Woomera dan Baxter.

“Hari ini merupakan detik penting, namun ia juga diselubungi kesedihan. Ada dalam kalangan ahli kumpulan ini yang tidak sempat menyaksikan hari ini.

“Bagi ramai ahli kumpulan ini, Australia kini menjadi tanah air mereka. Mereka telah membina kehidupan, keluarga dan komuniti di sini, namun masih menanggung kesan daripada satu episod yang amat sukar dalam hidup mereka,” kata wakil Shine Lawyers, Nicholas Kitchin.

Jurucakap Jabatan Hal Ehwal Dalam Negeri Australia berkata, isu itu telah diselesaikan selaras dengan prinsip dan amalan perundangan.

Selepas menutup kem tahanan di kawasan gurun itu, Australia beralih kepada dasar menghantar pencari suaka yang tiba melalui bot ke kem tahanan di pulau terpencil Pasifik iaitu Nauru dan Pulau Manus sementara permohonan status pelarian mereka diproses.

Dalam perkembangan berasingan, kumpulan hak asasi manusia, Refugee Action Coalition, pada Jumaat menggesa kerajaan Australia memindahkan seorang pelarian Kurdish-Iran berusia 36 tahun yang dihantar ke Pulau Manus di Papua New Guinea pada 2013 atas alasan perubatan, selepas kesihatan mental dan fizikalnya dilaporkan merosot dengan ketara.

Kumpulan itu turut mengedarkan gambar yang menunjukkan keadaan tubuh pelarian berkenaan, Hatam Yekta yang kelihatan terlalu kurus ketika menerima rawatan di hospital di Port Moresby.

“Keadaan Hatam adalah contoh menyedihkan nasib 10 hingga 12 pelarian yang mengalami masalah kesihatan mental serius akibat layanan yang mereka terima ketika ditahan di pusat tahanan Pulau Manus,” kata jurucakap Refugee Action Coalition, Ian Rintoul.

Kerajaan Australia menegaskan kerajaan Papua New Guinea bertanggungjawab menguruskan pelarian yang masih berada di negara itu selepas perjanjian pemprosesan pencari suaka di Papua New Guinea ditamatkan pada 2022.-AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×