WASHINGTON: Presiden Donald Trump pada Khamis berkata perjanjian dengan Iran untuk menamatkan perang merupakan satu kemenangan” bagi Amerika Syarikat (AS) dan menolak kritikan yang semakin meningkat termasuk daripada sebahagian daripada anggota parti Republikan sendiri.
“Tidak ada pembayaran AS$300 bilion (RM1.2 trilion);kepada Iran oleh Amerika, Itu adalah berita palsu! Apa yang diperoleh Amerika hanyalah kejayaan, harga minyak yang lebih rendah, dan kemenangan. Lihat sahaja pasaran saham. Propaganda parti Demokrat sedang dimainkan,” kata Trump dalam satu hantaran di rangkaian media sosial Truth Social miliknya.
Beliau menyatakan demikian sebagai mengulas isi kandungan perjanjian damai yang ditandatanganinya semasa satu majlis makan malam diterangi cahaya lilin di Istana Versailles, Perancis selepas sidang kemuncak Kumpulan 7 (G7) pada Rabu.
Ia disaksikan dan diberikan tepukan oleh Presiden Perancis, Emmanuel Macron dan tetamu lain, menurut rakaman video yang dimuat naik oleh seorang pembantu Trump.
Rakan sejawatnya dari Iran, Masoud Pezeshkian turut menandatangani perjanjian itu yang bertujuan menamatkan perang di Asia Barat dengan Teheran bersetuju untuk mengurangkan tahap pengayaan uranium yang dimilikinya sebagai balasan kepada bantuan ekonomi berskala besar.
Dalam perjanjian itu, AS bersama rakan serantau akan membangunkan pelan pembinaan semula dan pembangunan ekonomi Iran bernilai sekurang-kurangnya AS$300 bilion.
Mekanisme pelaksanaan akan dimuktamadkan dalam 60 hari. Semua lesen dan kebenaran kewangan akan dikeluarkan oleh AS.
AS akan menamatkan semua sekatan terhadap Iran termasuk resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), resolusi Lembaga Gabenor Agensi Tenaga Atom Antarabangsa. (IAEA) dan semua sekatan unilateral. – AFP










