Trump akan bom Iran jika tidak patuhi perjanjian damai - Utusan Malaysia

Trump akan bom Iran jika tidak patuhi perjanjian damai

TANGKAPAN skrin rangkaian televisyen IRINN, menyiarkan Presiden Iran, Masoud Pezeshkian (atas kiri), dan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump menandatangani memorandum persefahaman. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PARIS: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump pada Rabu mengancam untuk mengebom habis-habisan Iran jika negara itu gagal mematuhi memorandum persefahaman (MoU) yang dimeterai dengan Washington.

Trump juga menegaskan beliau bimbang perang berterusan boleh mencetuskan malapetaka ekonomi yang menyebabkan  tempoh kepresidenannya berakhir dengan rekod yang buruk

Presiden AS itu  mengakuipasaran saham meningkat apabila beliau menyatakan untuk menamatkan perang, namun merosot dengan ketara apabila kemungkinan konflik itu akan diteruskan. 

Memuatkan artikel berkaitan…

“Pasaran saham lebih bijak daripada sesiapa sahaja, termasuk mereka yang berada di pentas ini, kecuali saya, sudah tentu. Saya tidak mahu melihat malapetaka ekonomi berlaku,” kata Trump dalam sidang media yang berlangsung di luar acara Sidang Kemuncak G7 di Evian, Perancis.

Beliau diiringi beberapa pegawai kanan AS termasuk Setiausaha Negara, Marco Rubio, Setiausaha Perdagangan, Howard Lutnick dan Setiausaha Perbendaharaan, Scott Bessent dalam sidang tersebut.

Kenyataan Trump dilihat mengesahkan sekatan Iran di Selat Hormuz menyebabkan kesan ekonomi yang cukup besar sehingga mendorong pentadbirannya mengumumkan lanjutan gencatan senjata selama 60 hari pada Ahad lalu.

Pada Rabu,  Trump dan rakan sejawatannya dari Iran, Masoud Pezeshkian telah memeterai perjanjian bagi menamatkan perang di Asia Barat. Pezeshkian menandatangani perjanjian itu di Iran manakala satu majlis rasmi dijadual berlangsung pada Jumaat di Switzerland yang akan menandakan permulaan tempoh rundingan selama 60 hari.

Trump menandatangani MoU itu selepas menghadiri Sidang Kemuncak G7 dalam satu majlis makan malam diterangi cahaya lilin di Istana Versailles, menurut rakaman video yang dimuat naik oleh seorang pembantunya.

Jurucakap Kementerian Luar Iran, Esmaeil Baqaei yang dipetik agensi berita rasmi IRNA berkata, dokumen itu telah dimuktamadkan dengan tandatangan kedua-dua presiden.

Ketua perunding Iran yang juga Speaker Parlimen, Mohammad Bagher Ghalibaf menyifatkan perjanjian itu sebagai ‘kegagalan’ AS.

MoU itu bertujuan menamatkan konflik berbulan-bulan yang tercetus susulan serangan AS-Israel ke atas Iran pada Februari lalu, yang mengakibatkan kekacauan di rantau itu serta menggugat ekonomi global.

Rumah Putih berkata, langkah itu dijangka membuka jalan kepada penamatan perang secara kekal menerusi rundingan susulan.

Menurut taklimat pegawai di Washington, Selat Hormuz akan kekal bebas tol sepanjang tempoh 60 hari di bawah MoU tersebut, namun status masa depannya akan dirundingkan kemudian, sekali gus membuka kemungkinan pengenaan bayaran pada masa hadapan.

“Republik Islam Iran akan mengadakan dialog dengan Kesultanan Oman bagi menentukan pentadbiran dan perkhidmatan maritim masa depan di Selat Hormuz, dengan perbincangan turut melibatkan negara pesisir Teluk Parsi yang lain selaras dengan undang-undang antarabangsa yang berkuat kuasa,” menurut taklimat itu.

Iran juga berpotensi memperoleh akses kepada dana pembinaan semula bernilai AS$300 bilion (RM1.2 trilion), walaupun pegawai memaklumkan Washington tidak terikat untuk menyumbang kepada dana tersebut.

Bagaimanapun, Trump tetap mempersoalkan kekuatan perjanjian berkenaan.

“Ia hanya MoU. Jika saya tidak menyukainya, kami akan kembali menembak mereka dan menggugurkan bom ke atas mereka. Jika saya tidak menyukainya, jika mereka tidak berkelakuan baik, kami akan kembali menggugurkan bom tepat ke atas mereka,” tambah beliau.

MoU yang dilaporkan beberapa media AS itu tidak memperincikan masa depan program nuklear Iran, sebaliknya menyatakan isu berkenaan akan diputuskan oleh perunding sepanjang tempoh lanjutan gencatan senjata.

Trump turut menolak dakwaan bahawa AS perlu mendapatkan simpanan uranium diperkaya milik Iran, dengan alasan bahan tersebut ditanam jauh di bawah tanah dan hanya AS serta China mempunyai peralatan untuk mengeluarkannya.

Beliau berkata, pihak berkuasa juga mempunyai kamera pemantauan di lokasi yang disyaki menyimpan stok uranium itu.

Trump, yang pernah mengkritik perjanjian nuklear Iran 2015 dan menarik keluar AS secara unilateral selepas memasuki Rumah Putih berkata, perjanjian baharunya berbeza kerana disertakan ancaman tindakan ketenteraan.

Beliau turut menegaskan syarat yang ditetapkan akan memastikan Iran tidak dapat memperoleh senjata nuklear.

“Sesiapa yang menjual senjata nuklear kepada mereka akan diserang dengan senjata nuklear juga,” kata Trump. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini