PASIR MAS: Kenaikan harga bahan mentah sehingga menyebabkan kos memasak sekawah bubur asyura melonjak kepada RM800 tidak melemahkan semangat penduduk di negeri ini untuk terus mempertahan tradisi itu.
Pengerusi Masjid Iktikaf Haji Mahmood, Padang Hangus, Chetok di sini, Dollah Awang Husin berkata, kos menghasilkan sekawah bubur asyura meningkat ketara berbanding sebelum ini yang hanya sekitar RM500 hingga RM650.
Katanya, peningkatan itu didorong kenaikan harga pelbagai bahan asas termasuk santan, kacang dan rempah-ratus yang digunakan dalam penyediaan makanan tradisi berkenaan.
“Kami tetap sepakat meneruskan tradisi ini. Bagaimanapun, kami lega harga daging segar dan ayam tidak naik.
“Atas dasar semangat, penduduk memberi kerjasama penuh atas semangat penyatuan dan kebersamaan yang menjadi kekuatan utama setiap kali tiba musim memasak bubur asyura,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Dollah berkata, usaha mengekalkan warisan tersebut turut mendapat suntikan baharu apabila semakin ramai golongan muda tampil menyertai aktiviti gotong-royong termasuk membantu mengacau bubur asyura bersama penduduk setempat.
Katanya, tradisi memasak bubur asyura yang menjadi identiti masyarakat Kelantan sejak sekian lama perlu terus dipertahankan agar warisan turun-temurun itu tidak luput ditelan zaman. – UTUSAN










