Tiada pendaki di Gunung Batu Putih selepas kes Jaslinda

Tiada pendaki di Gunung Batu Putih selepas kes Jaslinda

LALUAN di kaki Gunung Batu Putih dari Pos Gedong di Bidor yang digunakan pendaki untuk mendaki gunung tersebut ketika tinjauan semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAPAH: Selepas kes pendaki wanita, Jaslinda Saludin ter­sesat selama dua minggu di Gunung Batu Putih di sini, tiada mana-mana individu atau kumpulan yang dikesan mendaki gunung tersebut setakat ini.

Setiausaha Koperasi Orang Asli Lata Kinjang Berhad di sini, Rani Bah Ulin berkata, pihaknya bersama tok batin di kampung berdekatan gunung tersebut memantau jika terdapat pihak yang mahu mendaki di situ.

Katanya, pemantauan melibatkan kawasan Hutan Batu Putih bermula di laluan mendaki dari Pos Gedong Bidor dan turun di Pos Kuala Woh.

“Berdasarkan pemantauan kami, tiada sesiapa yang mendaki gunung tersebut selepas kes seorang wanita ter­sesat di gunung tersebut sela­ma dua minggu.

“Bagi kami sekarang bukan masa yang sesuai untuk mendaki kerana sekarang ke­rap hujan, menyebabkan trek licin dan berbahaya kepada pendaki,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Beliau menasihatkan pendaki agar tidak sesuka hati mendaki ketika cuaca tidak menentu terutama jika sering berlaku hujan lebat.

Katanya, pihaknya bukan menghalang aktiviti pendaki terapi keadaan trek licin semasa musim hujan apatah lagi Gunung Batu Putih mempu­nyai tahap kesukaran pendakian yang tinggi.

“Tunggu arahan pihak yang berwajib bila masa yang sesuai untuk mendaki di gunung ini. Jika nanti sudah dimaklumkan oleh pihak yang berwajib dan kawasan ini dibuka semula, bolehlah mendaki.

“Walau mempunyai pengalaman yang luas kena ikut prosedur operasi standard, ja­ngan mendaki berseorangan dan ja­ngan tinggalkan kawan, sama-sama naik dan sama-sama turun dan selamat sampai,” katanya.

Mengulas lanjut aktiviti pen­dakian, Rani berharap semua pendaki mengelak kejadian tersesat seperti yang dialami Jaslinda.

Menurutnya, kejadian ter­sesat di dalam hutan dan sukar dijumpai bukan kerana hal mistik tetapi kerana kawasan di situ luas dan tahap pendakian yang sukar.

“Kes kehilangan individu di dalam hutan sememangnya memberi kesan besar kerana ia melibatkan mobilisasi pelbagai agensi kerajaan dan menelan kos operasi yang sangat tinggi dan penglibatan pelbagai agensi.

“Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) memerlukan koordinasi bersepadu dan melibatkan pelbagai agensi juga melibatkan kos yang tinggi,” katanya.

Jaslinda Saludin, 49, ditemukan selamat pada 6 Jun lalu oleh dua penduduk Kampung Lubuk Gaharu semasa mereka memancing ikan di sungai selepas hilang selama 14 hari ketika mendaki Gunung Batu Putih. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×