Risiko geopolitik reda, pasaran saham kembali positif

Risiko geopolitik reda, pasaran saham kembali positif

PADA 5 petang semalam, FBM KLCI ditutup tinggi 1.40 mata kepada 1,711.39 berbanding 1,709.99 pada sesi dagangan akhir Selasa lalu. 
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pengurangan risiko geopolitik di Asia Barat, aliran masuk dana asing yang kembali meningkat serta pembelian berterusan saham wajaran tinggi menjadi antara faktor utama yang menyokong prestasi positif Bursa Malaysia ketika ini.

Pada 5 petang semalam, FBM KLCI ditutup tinggi 1.40 mata kepada 1,711.39 berbanding 1,709.99 pada sesi dagangan akhir Selasa lalu. 

Paras tertinggi indeks penanda aras adalah 1,722.63 dalam sesi dagangan semalam.

Penganalisis ekonomi UniKL Business School, Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, pengukuhan lebih satu peratus FTSE KLCI Bursa Malaysia (FBM KLCI) kepada 1,709.99 mata pada 16 Jun lalu didorong terutamanya oleh belian berterusan dalam saham-saham berwajaran tinggi, khususnya sektor perbankan.

Beliau berkata, saham Maybank meningkat 24 sen kepada RM11.16, Public Bank naik 13 sen kepada RM5.05, manakala CIMB menambah sembilan sen, sekali gus menjadikan sektor kewangan sebagai tonggak utama kenaikan pasaran.

“Pelabur melihat prospek pertumbuhan pinjaman yang masih positif, kualiti aset yang sihat dan pulangan dividen yang menarik dalam sektor perbankan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Sementara itu, jelasnya, sentimen pasaran turut disokong oleh perkembangan positif di Asia Barat susulan jangkaan perjanjian damai antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran yang dijangka mengurangkan risiko gangguan bekalan tenaga global.

“Perkembangan itu telah membantu menurunkan harga minyak mentah Brent kepada sekitar AS$78 (RM316.95) setong apabila kebimbangan terhadap operasi di Selat Hormuz semakin reda.

“Pasaran secara umumnya menyukai kepastian. Apabila risiko geopolitik berkurangan dan laluan perkapalan utama seperti Selat Hormuz kembali beroperasi dengan lebih lancar, ia memberi keyakinan kepada pelabur,” ujarnya.

Beliau berkata, pasaran saham tempatan juga mendapat manfaat daripada kemasukan semula dana asing dengan aliran masuk berjumlah RM5.8 bilion direkodkan pada suku pertama 2026, termasuk RM1.2 bilion ke pasaran ekuiti.

Ujarnya, Malaysia masih dilihat sebagai pasaran berisiko rendah berbanding beberapa negara lain, disokong oleh kestabilan ringgit serta pertumbuhan eksport yang berterusan selama sembilan bulan berturut-turut.

Mengulas kesan penurunan harga minyak mentah kepada ekonomi negara, beliau berkata, harga Brent di bawah paras AS$80 (RM327.99) setong secara keseluruhannya memberi manfaat kepada Malaysia kerana dapat membantu mengurangkan kos operasi perniagaan dan tekanan inflasi.

“Kos logistik, penerbangan, pembuatan dan pengangkutan berpotensi menurun. Pada masa sama, inflasi yang lebih terkawal akan menyokong kuasa beli pengguna serta perbelanjaan isi rumah,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd., Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, perjanjian perdamaian ini antara AS dan Iran dapat mengurangkan harga minyak mentah global disebabkan jangkaan pembukaan Selat Hormuz. 

“Selain itu, ia memberi kelegaan kepada kedudukan kewangan kerajaan Malaysia terutamanya dari segi subsidi bahan api. Perkara ini sudah pasti akan memberi sedikit kelegaan kepada rakyat Malaysia. 

“Walau bagaimanapun, isu jangkaan kenaikan kadar faedah di AS pula dilihat sebagai penyumbang kepada kebimbangan pasaran disebabkan pihak Rizab Persekutuan (Fed) dijangka akan menaikkan kadar faedah pada tahun ini sekitar 25 mata asas,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×