Speedy Tigers perlukan revolusi pemain muda

Speedy Tigers perlukan revolusi pemain muda

Aksi Malaysia menentang New Zealand dalam Kejohanan Hoki Piala Negara-Negara di Cape Town, Afrika Selatan yang berakhir dengan kekalahan kepada pasukan Kiwi itu. - IHSAN KHM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kegagalan skuad hoki negara mara ke separuh akhir Piala Negara-Negara kelmarin memberi petunjuk jelas Malaysia tidak lagi boleh bergantung kepada pemain sedia ada.

Pemerhati sukan tempatan, Datuk Dr. Pekan Ramli berkata, sekiranya jurulatih Brendon Carolan masih enggan berganjak bermakna tidak banyak perubahan yang dapat dilakukannya terhadap pasukan kebangsaan.

Kata Pekan, berdasarkan keputusan perlawanan di peringkat kumpulan kejohanan yang berlangsung di Cape Town, Afrika Selatan jelas menunjukkan Malaysia sudah tidak berupaya menyaingi pasukan seperti Jepun dan New Zealand meskipun mereka kerap bertemu.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kita berharap jurulatih dapat mengenal pasti kelemahan pasukan sebab kita sering dikecewakan di kejohanan-kejohanan besar. Kalau guna pemain yang sedia ada, saya tak nampak kita boleh pergi jauh.

“Jurulatih kena beri tumpuan kepada pemain muda. Kena ada perancangan jangka masa panjang dan pendek. Kita mahukan skuad masa hadapan sebab kalau panggil jurulatih hebat sekali pun untuk betulkan skuad yang kita ada sekarang kita tak ke mana.

“Tak adil untuk memberikan komen negatif kepada jurulatih kerana ini kejohanan pertamanya,” katanya.

Peluang Speedy Tigers untuk mara ke separuh akhir kejohanan tertutup rapat selepas mereka dibelasah New Zealand 5-1 kelmarin dan selepas ini, skuad negara akan berdepan berdepan dua kejohanan besar iaitu Piala Dunia dan Sukan Asia Aichi-Nagoya, pada Ogos dan September ini.

Mengulas lanjut, Pekan berkata, adalah sukar untuk Malaysia melangkah lebih jauh pada dua kejohanan besar itu dengan sasaran utama mereka memenangi pingat emas di Sukan Asia sekali gus mara ke Sukan Olimpik 2028.

“Penting untuk kita bina skuad muda yang agar kita dapat layak ke kejohanan besar selepas ini. Bagi saya, untuk mencapai sesuatu yang besar dalam tempoh setahun adalah sukar apatah lagi mahu layak ke Sukan Olimpik,” katanya.

Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) sebelum ini melantik Brendon sebagai ketua jurulatih baharu berkuat kuasa 1 April 2026 hingga 1 April 2027 selepas badan induk hoki negara itu tidak memperbaharui kontrak Sarjit Singh. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini