Daya tahan ekonomi domestik sokong pasaran saham Malaysia 

Daya tahan ekonomi domestik sokong pasaran saham Malaysia 

PEMANDANGAN Kuala Lumpur.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pasaran ekuiti Malaysia terus menunjukkan daya tahan pada separuh pertama 2026, meskipun berdepan ketidaktentuan geopolitik global yang semakin memuncak, disokong oleh pertumbuhan ekonomi domestik yang kukuh serta kedudukan strategik negara dalam penyusunan semula rantaian bekalan global.

 BIMB Securities dalam laporan strategi pasaran bertajuk ‘Ketahanan strategik dalam menghadapi pergeseran geopolitik gobal’ berkata, Malaysia mencatat pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 5.4 peratus pada suku pertama 2026, sekali gus menjadi pemacu utama kepada prestasi pasaran tempatan di tengah-tengah ketidaktentuan ekonomi global.

“Walaupun indeks utama pasaran mencatatkan pertumbuhan tahunan yang memberangsangkan, prestasi tersebut masih tertumpu kepada beberapa sektor tertentu seperti teknologi, hartanah dan perindustrian, manakala penyertaan pelabur asing kekal tidak konsisten,” katanya dalam nota penyelidikan. 

BIMB Securities berkata, negara berada pada fasa kekosongan pemangkin iaitu pasaran kekurangan faktor baharu yang mampu memacu kenaikan secara menyeluruh.

Dalam masa sama, ujarnya, konflik geopolitik yang berterusan di Asia Barat terus memberi tekanan kepada pasaran global melalui kenaikan harga tenaga dan gangguan rantaian bekalan. 

“Namun, Malaysia berada dalam kedudukan yang lebih baik berbanding negara serantau lain kerana peranannya sebagai hab alternatif bagi pelaburan dan pemindahan operasi industri global,” katanya.

Firma itu mengekalkan sasaran akhir tahun bagi indeks penada aras FTSE KLCI Bursa Malaysia (FBM KLCI) pada paras 1,760 mata, manakala FBM Hijrah Shariah disasarkan mencapai 14,582 mata.

Menurut BIMB Securities, penilaian tersebut disokong oleh jangkaan bahawa ketahanan pendapatan syarikat domestik mampu mengimbangi kesan turun naik global, termasuk tekanan kos akibat inflasi serta perubahan dasar monetari antarabangsa.

“Dari sudut pelaburan, firma mengesyorkan pelabur memberi tumpuan kepada sektor yang kurang terdedah kepada kejutan perdagangan global seperti perbankan dan pembinaan. 

“Selain itu, perkembangan pesat pusat data dan permintaan elektrik yang semakin meningkat turut dijangka menjadi pemacu pertumbuhan baharu dalam ekonomi digital negara,” katanya.

Dalam pada itu, BIMB Securites berkata, sektor elektrik dan elektronik (E&E) pula terus menjadi penyumbang utama kepada prestasi pasaran. 

Katanya, permintaan global yang meningkat terhadap infrastruktur kecerdasan buatan (AI) dan komponen pengkomputeran berprestasi tinggi telah mendorong pertumbuhan eksport semikonduktor Malaysia pada awal tahun ini.

“Perkembangan itu mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai satu daripada pemain penting dalam rantaian nilai teknologi global, sekali gus menarik minat pelabur institusi terhadap syarikat-syarikat tempatan yang terlibat dalam industri semikonduktor,” katanya.

Pada masa sama, BIMB Securities berkata, pengukuhan nilai ringgit sebagai faktor yang mempunyai kesan bercampur terhadap pasaran. 

“Walaupun ia memberi manfaat kepada syarikat yang bergantung kepada import, pengeksport berdepan cabaran daripada kesan pertukaran mata wang yang boleh menjejaskan margin keuntungan.

“Secara keseluruhannya, BIMB Securites berpandangan pasaran Malaysia masih mempunyai asas yang kukuh untuk berkembang, dengan gabungan kestabilan ekonomi domestik, pertumbuhan sektor teknologi dan pembangunan infrastruktur dijangka membantu mengimbangi risiko luaran yang terus mencabar landskap ekonomi global,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×