Kumpulan pertama kapal tangki lalu Selat Hormuz tanpa halangan - Utusan Malaysia

Kumpulan pertama kapal tangki lalu Selat Hormuz tanpa halangan

GAMBAR fail daripada agensi berita ISNA Iran memaparkan kapal-kapal berlabuh di Selat Hormuz di luar Bandar Abbas di selatan Iran.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEHERAN: Sekurang-kurangnya tiga kapal tangki minyak Iran dan dua kapal kargo yang membawa barangan keperluan berjaya melalui  Selat Hormuz pada Isnin walaupun Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menyatakan ia hanya akan dibuka pada Jumaat ini.

Sumber maritim memaklumkan kepada Press TV, kapal yang dilaporkan terkandas selama beberapa bulan akibat kempen sekatan laut AS itu belayar me­lalui perairan antarabangsa itu tanpa halangan.

Perkembangan itu berlaku kurang 24 jam selepas kedua-dua pihak bersepakat menerima memorandum persefahaman (MoU) yang dimediasi Pakistan dan Qatar, pada Ahad sekali gus menandakan kejayaan operasi pertama di bawah perjanjian baharu antara AS-Iran.

Memuatkan artikel berkaitan…

Ini bermakna kapal tangki minyak dan kapal kargo Iran bebas sepenuhnya untuk belayar melalui perairan Iran serta antara­bangsa.

Pembukaan semula itu adalah salah satu titik laluan tenaga paling penting di dunia dan dijangka menjadi langkah besar ke arah menamatkan konflik berbulan-bulan serta kekacauan ekonomi yang dicetuskan oleh serangan AS-Israel ke atas Iran pada akhir Februari. 

Trump pada Isnin berkata menerusi platform Truth Social miliknya  bahawa kapal tangki minyak sarat dengan muatan mula bergerak keluar dari selat tersebut yang dipercayai melalui laluan berhampiran Oman.

Ketika mengumumkan perjanjian dengan Iran pada Ahad, beliau berkata, selat itu boleh dibuka semula sebaik sahaja perjanjian dijadual ditandata­ngani pada Jumaat.

“Kapal-kapal mula bergerak, banyak daripadanya membawa minyak, keluar dari Selat Hormuz,” tulis Trump.

Pembukaan semula Selat Hormuz dijangka menjadi langkah penting ke arah meredakan konflik berbulan-bulan dan tekanan ekonomi global susulan ketegangan AS-Israel dengan Iran.

Kapal tangki komersial pertama yang  telah berjaya melalui Selat Hormuz itu berdaftar di Malta. Ia berlaku ketika terdapat laporan bahawa Washington sedang bersedia untuk menamatkan sekatan laut yang dikenakan ke atas laluan strategik tersebut selama beberapa minggu.

Menurut data penjejakan ma­ritim dan laporan perkapalan, kapal Disha itu membawa gas asli cecair (LNG). 

Kapal itu menggunakan laluan Skim Pemisahan Trafik  (TSS) yang ditetapkan Iran untuk ke­luar dari Teluk Parsi dengan selamat dan meneruskan pelayaran ke perairan terbuka serantau.

Memetik laporan Reuters, data perkapalan turut mengesan sebuah kapal LNG bergerak ke arah timur melalui laluan sempit itu, perkembangan yang menurut penganalisis maritim secara langsung dikaitkan dengan pengurangan ketegangan segera hasil rangka kerja diplomatik baharu AS-Iran.

Sebelum ini, AS, Iran dan pengantara Pakistan berkata, perjanjian damai itu dijadualkan akan ditandatangani pada Jumaat di Switzerland.

Namun seorang pegawai ka­nan pentadbiran AS berkata bahawa  Trump, Naib Presiden AS, JD Vance dan Speaker Parlimen Iran, Mohammad Bagher Ghalibaf telah pun menandatangani dokumen  itu secara elektronik.

“Presiden (Trump) mahu menandatanganinya secara peri­badi kerana beliau mahu me­nunjukka komitmennya untuk membawa perkara ini kepada penyelesaian yang berjaya,” kata pegawai itu.

Apabila ditanya di sidang Kumpulan Tujuh (G7) di Perancis bila teks itu akan dikeluar­kan, Trump berkata pada Isnin: “Ia adalah dokumen yang sangat kuat, dan saya mahu ia dikeluarkan. Jadi mungkin tidak lama lagi.”

Dalam pada itu, Timbalan Menteri Luar Iran, Kazem Gharibabadi berkata, perjanjian itu membawa penamatan segera perang, dengan rundingan bagi perjanjian akhir dijadualkan dibuat dalam tempoh dua bulan. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini