TEMERLOH: Keluarga kemalangan maut yang mengorbankan empat orang di Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak di sini, mempertimbang tindakan undang-undang terhadap pihak berkaitan selain mendesak siasatan menyeluruh dilakukan bagi memastikan keadilan kepada mangsa.
Abang kepada Allahyarham Rozita Buang, Jamlus, 69, berkata, keluarganya mahu tindakan tegas diambil terhadap pemandu treler yang terlibat dalam tragedi itu.
Katanya, kejadian tersebut bukan sahaja meragut nyawa malah meninggalkan kesan mendalam kepada seluruh keluarga.
“Keluarga kini sedang mendapatkan nasihat dan meneliti saluran undang-undang bersesuaian termasuk proses tuntutan bagi membolehkan tindakan lanjut diambil secara teratur.
“Kami harap tindakan sekeras-kerasnya diambil. Pemandu seperti ini tidak seharusnya berada di jalan raya kerana boleh membahayakan pengguna lain. Kita tidak mahu tragedi seperti ini berulang sehingga meragut lebih banyak nyawa tidak berdosa,” katanya di pekarangan Unit Forensik Hospital Sultan Haji Ahmad Shah di sini, semalam.
Jamlus berkata, dalam keadaan keluarga masih diselubungi kesedihan, mereka berharap pihak polis menjalankan siasatan secara telus dan menyeluruh supaya punca sebenar kejadian dapat dikenal pasti.
“Saya harap polis meneruskan siasatan dan mengambil tindakan sewajarnya mengikut undang-undang. Banyak kejadian kemalangan membabitkan kenderaan berat berlaku kebelakangan ini dan kita tidak mahu tragedi seperti ini dipandang ringan,” katanya.
Sementara itu, pemandu treler yang terlibat dalam nahas mengorbankan empat sekeluarga positif dadah jenis Methamphetamine selain mempunyai 15 rekod saman trafik.
Ketua Polis Daerah Bentong, Superintenden Zaiham Mohd. Kahar berkata, selepas selesai menerima rawatan di hospital, polis membawa pemandu treler terbabit ke Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong bagi melaksanakan ujian saringan air kencing.
“Keputusan positif dadah jenis Methamphetamine. Tangkapan sudah dibuat ke atas pemandu treler terbabit kira-kira pukul 4 pagi hari ini (semalam),” katanya.
Zaiham berkata, pemandu treler terbabit kini direman empat hari bermula semalam setelah mendapat kebenaran Mahkamah Raub bagi membantu siasatan kejadian tersebut. – UTUSAN











